WROCLAW, POLAND, 21 MEI – Sebuah syarikat Poland hari ini melancarkan kilang pengeluaran industri panel solar pertama di dunia berdasarkan teknologi perovskite, yang bakal merevolusikan akses kepada tenaga solar untuk semua.
Dinamakan sempena dewi matahari Baltik, Saule Technologies menghasilkan kepingan panel solar menggunakan prosedur percetakan dakwat yang dicipta oleh syarikat induk Olga Malinkiewicz.
“Kami berkembang pesat daripada makmal kepada kilang pemasangan,” kata Malinkiewicz, dengan firmanya berpangkalan di bandar selatan Wroclaw. Panel fotovoltan disalut dengan filem perovskite adalah ringan, fleksibel dan bolah dipasang dengan mudah pada hampir kesemua permukaan untuk menjana elektrik walaupun dalam bangunan.
Kos pengeluaran adalah rendah disebabkan prosedur percetakan dakwat untuk perovskite, yang membolehkannya menghasilkan panel di bawah suhu lebih rendah.
Malinkiewicz membangunkan kaedah pemprosesan itu pada 2013 semasa masih belajar di Universiti Valencia di Sepanyol.
“Kini kami akan membuka kilang sel solar perovskite pertama di dunia,” beritahunya kepada AFP.
Tempahan komersial pertama telah diterima daripada Internet of Things dan sektor pembinaan.
Firma itu kini bersedia untuk disenaraikan di Bursa Saham Warsaw dan juga menimbang untuk membina kilang baharu di Eropah atau Jepun. – AFP
