Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kilang piza punca penularan E.coli

    LILLE, 13 APRIL – Pendakwa raya hari ini menggeledah sebuah kilang piza sejuk beku Buitoni di utara Perancis, mengesyaki punca penularan E.coli yang menyebabkan puluhan kanak-kanak jatuh sakit, menurut pihak polis.

    Siasatan dalam pembunuhan tanpa sengaja dan amalan tidak jujur dibuat 1 April selepas pihak berkuasa mengesan lebih 70 kes jangkitan, yang mungkin telah menyebabkan kematian budak berumur setahun dan remaja 18 tahun.

    Penggeledahan di kilang Caudry yang dikendalikan oleh Buitoni, dan dimiliki oleh syarikat konglomerat Switzerland, Nestle, disahkan oleh pejabat pendakwa raya Paris, yang mengetuai penyiasatan.

    Nestle mengumumkan ia menarik semula piza Fraiche-Up yang tercemar pada 18 Mac, dan pihak berkuasa mengarahkan untuk menghentikan pengeluaran di Caudry pada 6 April selepas menjalankan dua pemeriksaan kebersihan.

    Pemeriksaan ‘mendedahkan kemerosotan pengawalan kebersihan makanan,’ kehadiran ‘tikus’ dan langkah yang tidak mencukupi untuk menghalang haiwan perosak daripada mencemarkan tapak penghasilan makanan, pihak berkuasa berkata dalam arahan penutupan.

    Bakteria Escherichia coli boleh membawa kepada komplikasi kesihatan teruk dan berpanjangan termasuk kegagalan buah pinggang. Pihak berkuasa Perancis berkata laporan kemungkinan jangkitan bermula berlaku pada akhir Februari.

    Buitoni berkata ia memberikan kerjasama dengan siasatan dan berjanji untuk mengambil ‘langkah berpatutan’ ekoran penularan wabak itu.- AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...