Kilang sabun tertua bangkit daripada kemusnahan

ALEPPO, SYRIA – Berjalan ke kilang sabun Zanabili di bandar lama Aleppo di barat laut Syria agak sukar, kerana kesan perang saudara yang berlarutan masih kelihatan di sana sini.

Bagaimanapun, haruman sabun zaitun asli yang memukau akan menarik pengunjung ke timbunan bar sabun, yang sentuhannya sangat halus kerana ia diperbuat daripada minyak zaitun asli.

Kilang Zanabili, kilang sabun zaitun tertua di Aleppo dinamakan sempena nama keluarga yang telah mengendalikannya sejak 1,000 tahun lalu, mengalami kerosakan besar kerana ia terletak di zon pertempuran semasa perang.

Pada 2012, Zanabili terpaksa pergi ke tempat yang lebih selamat di Aleppo apabila pemberontak Syria mengambil alih kawasan itu. Namun, itu tidak menjatuhkannya. Dia terus membuat sabun di dalam bilik sebuah rumah di bandar, cuba mengekalkan nama jenama keluarga.

Apabila pemberontak diusir pada 2016, Zanabili segera kembali ke kilang lama itu, hanya mendapati 40 peratus daripadanya telah rosak. Zanabili tidak berhenti. Dia menyingsing lengan baju dan mula membaiki kilang sambil meneruskan pengeluaran sabun, walaupun pada kapasiti yang sangat terhad.

Di dalam kilang itu, lapisan jelaga boleh dilihat di bahagian dinding akibat kebakaran yang meletus semasa perang. Pekerja mengendalikan mesin lama untuk menghasilkan sabun zaitun. Secara amnya, sabun zaitun masih dihasilkan di Aleppo dengan cara lama, tanpa melibatkan jentera yang rumit. Ini memudahkan pengilang untuk menyambung kerja dalam apa jua keadaan.

Bangunan yang rosak kelihatan di kilang sabun Zanabili di bandar lama Aleppo, barat laut Syria. – Xinhua
Mazen Zanabili, pemilik kilang sabun Zanabili, memeriksa bahagian kilangnya yang telah dipulihkan. – Xinhua

Zanabili sangat berazam untuk menjalankan perniagaan keluarga dan mengekalkan jenama keluarga.

“Jika awda meninggalkan souk, orang akan lupa nama jenama itu. Sebab itu saya meneruskannya,” katanya.

Tetapi masalah yang disebabkan oleh perang melampaui kerosakan fizikal. Kilang Zanabili, seperti banyak kilang lain di Syria, juga menghadapi masalah serius yang lain.

Zanabili berkata pengeluarannya menurun 50 peratus disebabkan faktor luaran dan dalaman. Sebagai contoh, sekatan Barat yang diketuai Amerika Syarikat yang dikenakan ke atas Syria telah menyukarkan kilang-kilang menjalankan transaksi bank bagi memudahkan perdagangan.

Beliau turut menyebut kekurangan bekalan elektrik dan harga bahan api yang tinggi sebagai faktor lain yang menambah beban kepada kilang Syria.

“Kekurangan elektrik adalah halangan utama, memaksa kami untuk mengendalikan mesin pada penjana bahan api dan elektrik, yang meningkatkan kos pengeluaran kemudian harga sabun, berbanding dengan negara jiran,” kata Zanabili.

Kilang Zanabili juga terganggu dengan percubaan orang lain untuk mencuri nama jenama itu di tengah-tengah huru-hara perang dan sekatan.

Namun, Zanabili berikrar untuk meneruskan perjuangan untuk mendapatkan semula kehidupan lamanya dan menjadikannya lebih baik berbanding sebelumnya, dengan harapan produknya dapat menjangkau lebih banyak negara pada masa hadapan. – Xinhua