Kilang vaksin India terbakar, 5 maut

MUMBAI, 21 JAN – Lima orang maut ketika api menjilat sebuah bangunan di hab pengeluaran vaksin terbesar di dunia, di sini, hari ini, namun syarikat itu menegaskan pengeluaran ubat-ubatan untuk mencegah pandemik koronavirus akan diteruskan.

Para pekerja penyelamat menemukan lima mayat dalam bangunan sedang dalam pembinaan itu selepas kebakaran di Serum Institute of India itu berjaya di kawal, lapor media, dengan para pegawai di bandar barat Pune mengesahkan jumlah tersebut.

“Lima orang telah meninggal dunia,” kata datuk bandar Murlidhar Mohol memberitahu para wartawan.

Rangkaian televisyen menunjukkan gumpalan asap tebal menyelubungi kawasan berselerak di Pune itu, yang bertanggungjawab bagi pengeluaran jutaan dos vaksin koronavirus, Covishield, yang dibangunkan oleh AstraZeneca dan Oxford University.

“Ia tidak akan menjejaskan pengeluaran vaksin COVID-19,” sumber Serum Institute memberitahu AFP, menambah kebakaran berlaku di sebuah kemudahan baharu dibina di kampus berkeluasan 100 ekar.

Para pekerja memakai alat pelindung selepas kebakaran meletus di Serum Institute India di Pune pada 21 Januari. – AFP

Seorang pegawai bomba memberitahu wartawan bahawa ‘tiga atau empat orang berada di dalam’ apabila kebakaran meletus namun semuanya telah diselamatkan.

“Tidak ada yang terperangkap di dalam,” kata pegawai.

“Kami amat berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa korban,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma, Adar Poonawalla dalam Twitter, tanpa memberi butiran lanjut.

Kedua-dua polis dan syarikat itu berkata punca kebakaran belum lagi diketahui.

Kompleks tempat kebakaran berlaku itu terletak beberapa minit memandu dari kemudahan tempat vaksin koronavirus dihasilkan, menurut laporan.

Sekitar sembilan bangunan masih dalam pembinaan di kompleks itu untuk mempertingkatkan keupayaan pengilangan serum, lapor NDTV. – AFP