MOSCOW, 17 SEPT – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un meninggalkan Rusia hari ini, menamatkan lawatan yang mengesahkan hubungan rapatnya dengan Vladimir Putin dan mencetuskan kebimbangan Barat bahawa Pyongyang mungkin akan menyediakan Moscow dengan senjata untuk serangannya ke atas Ukraine.
Lawatan Kim ke wilayah timur jauh Rusia, yang bermula pada Selasa, telah memberi tumpuan secara meluas kepada hal-hal ketenteraan, dengan rombongannya yang didominasi oleh pegawai-pegawai tentera, pertukaran senapang simbolik dengan Putin dan lawatan ke kilang jet pejuang di Komsomolsk-on-Amur.
Sebelum berlepas, agensi berita Rusia (TASS) melaporkan bahawa Kim telah diberikan lima dron pengebom, dron peninjau dan ves kalis peluru sebagai hadiah daripada seorang gabenor wilayah.
Agensi Rusia tersebut berkata ‘pemimpin DPRK menerima lima dron kamikaze dan dron peninjau ‘Geran-25’ dengan pelepasan vertikel’, menggunakan nama rasmi Korea Utara.
TASS berkata gabenor wilayah Primorye, yang bersempadan dengan China dan Korea Utara, juga ‘menawarkan Kim Jong Un satu set perlindungan kalis peluru’ dan ‘pakaian khas yang tidak dapat dikesan oleh kamera termal’.
Kemudian agensi Ria Novosti hari ini menerbitkan video pemergian Kim, dan berkata ‘upacara pelepasan’ diadakan di stesen Artyom-Primorsky-1.
Rakaman menunjukkan Kim melambai selamat tinggal dari kereta apinya kepada delegasi Rusia yang diketuai oleh Menteri Sumber Asli, Alexander Kozlov, sebelum lagu Rusia, Farewell of Slavianka dimainkan ketika kereta api berlepas.
TASS berkata kereta api Kim menuju sekitar 250 kilometer ke arah sempadan. – AFP
