Kim arah ribuan bantu pemulihan akibat taufan

SEOUL, 6 SEPT – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un telah memerintahkan 12,000 anggota elit dari parti pemerintahannya yang berpangkalan di Pyongyang untuk membantu usaha pemulihan di wilayah pendalaman yang terjejas oleh taufan yang kuat, media kerajaan melaporkan hari ini.

Taufan Maysak yang membawa hujan lebat ke pantai timur negara itu dan Korea Utara masih mengalami banjir kilat dan taufan, dan satu lagi ribut yang diramal akan melanda semenanjung pada Selasa.

Bencana alam telah memberikan impak yang lebih besar kepada Korea Utara yang tidak mempunyai infrastruktur yang kukuh, dan negara itu terdedah kepada banjir kerana kebanyakan pokok di kawasan gunung dan bukit telah ditebang.

Lebih daripada 1,000 buah rumah musnah teruk akibat taufan Maysak dan bangunan awam serta ladang-ladang telah dibanjiri oleh air di seluruh wilayah di Utara dan Selatan Hamgyong, menurut agensi berita rasmi KCNA.

Kim mengadakan lawatan ke tapak bencana kelmarin dan mengadakan perjumpaan dasar mengenai usaha menyelamat, tambah laporan.

Gambar yang dikeluarkan oleh akhbar rasmi Rodong Sinmun hari ini menunjukkan Kim berdiri di hadapan sebuah rumah yang musnah dan diliputi oleh pokok ketika dia membincangkan mengenai keadaan dengan pegawainya.

Dalam surat terbuka tulisan tangan dua halaman yang ditujukan kepada anggota Parti Pekerja yang berkuasa di Pyongyang, Kim berkata kira-kira 12,000 anggota dari ibu kota akan dihantar ke dua wilayah untuk membantu usaha pemulihan menjelang cuti bulan depan.

Korea Utara akan menyambut hari ulang tahun ke-75 penubuhan parti pada 10 Oktober nanti. – AFP

Kim Jong Un ketika mengadakan lawatan di di Utara dan Selatan Hamgyong yang terjejas akibat taufan kuat. – AP