Kim ikrar atasi masalah ekonomi

SEOUL, KOREA SELATAN, 20 JUN – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ‘berikrar dengan sungguh-sungguh’ untuk mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi negaranya ketika dia mengadakan pertemuan besar parti pemerintah, mengakui kekurangan makanan dan mendesak para pegawai untuk bersiap sedia bagi dialog dan konfrontasi dengan Amerika Syarikat (AS).

Media negara Korea Utara mengeluarkan komen Kim sebelum wakil khas Presiden Joe Biden untuk Korea Utara, Sung Kim, tiba di Korea Selatan kelmarin untuk perbincangan mengenai diplomasi nuklear yang terhenti dengan Korea Utara.

Kim Jong Un telah mempengerusikan mesyuarat pleno empat hari bersama Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja yang memerintah, yang dijemputnya untuk membincangkan usaha-usaha menyelamatkan ekonomi yang suram dan terjejas oleh penyelewengan selama bertahun-tahun dan sekatan yang diketuai AS yang diperburukkan lagi oleh penutup sempadan akibat COVID-19.

Ketika dia mengakhiri pertemuan pada Jumaat, Kim dengan bersungguh-sungguh berikrar atas nama Jawatankuasa Pusat bahawa parti itu akan mengatasi kesulitan menuju ke arah jalan revolusi,” lapor Agensi Berita Pusat Korea.

Kim sebelumnya memerintahkan kerajaannya untuk bersiap sedia menghadapi dialog dan konfrontasi dengan AS, yang telah mendesak Korea Utara untuk meninggalkan cita-cita senjata nuklearnya dan kembali mengadakan perbincangan.

Kim merasmikan pleno Jawatankuasa Pusat pada Selasa dengan memberi amaran terhadap kekurangan makanan, mendesak para pegawai untuk mencari jalan untuk meningkatkan produksi pertanian tatkala situasi pada masa ini semakin tegang.

Dia juga berkata negaranya harus memperjuangkan sekatan COVID-19 yang dilanjutkan, menunjukkan bahawa ia akan melanjutkan penutupan sempadan dan langkah-langkah lain walaupun berdepan tekanan dalam ekonominya. – AP

Gambar yang dikeluarkan oleh kerajaan Korea Selatan menunjukkan Kim Jong Un ketika menghadiri mesyuarat Parti Pekerja di Pyongyang, Korea Utara pada 18 Jun. Kim Jong Un ‘berikrar dengan sungguh-sungguh’ untuk mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi negaranya. – AP