Kim Jong Kook dituduh guna steroid gara-gara miliki tubuh fizikal baik

Pelakon dan penyanyi, Kim Jong Kook dituduh menggunakan steroid untuk membina otot sehingga memiliki bentuk fizikal yang baik pada usia 45 tahun.

Dakwaan itu dibuat oleh seorang ahli bina badan dan jurulatih kecergasan terkenal berasal dari Kanada iaitu Greg Douccette menerusi channel YouTube miliknya.

Greg berkata, adalah mustahil untuk memiliki fizikal seperti itu pada usia 45 tahun dengan pengamalan pemakanan yang sihat dan semula jadi.

“Saya rasa dia menggunakan HRT (steroid) sebab seseorang itu tidak akan mempunyai paras testosteron yang sama pada usia 45 tahun,” kata jurulatih tersebut.

Malah, jurulatih itu juga sanggup bertaruh AS$1,000,000 bahawa Kim Jong Kook menyalahgunakan steroid.

Bagaimanapun, warganet dan peminat menyangkal tuduhan jurulatih tersebut dan menyatakan Kim Jong Kook telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mendapatkan otot dan sentiasa berlatih di gim selama berjam-jam untuk mengekalkan bentuk badannya.

Terdahulu, Kim Jong Kook pernah menegaskan bahawa dia tidak pernah menggunakan sebarang barang terlarang seperti steroid untuk membina otot sebaliknya mengamalkan diet yang seimbang dan makanan tambahan yang disarankan. – Agensi

Kim Jong Kook dituduh menggunakan steroid untuk membina otot sehingga memiliki bentuk fizikal yang baik pada usia 45 tahun. – Agensi