Kim Jong Un buat permohonan maaf

SEOUL, 25 SEPT – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membuat permohonan maaf hari ini selepas insiden pembunuhan membabitkan seorang pegawai perikanan Korea Selatan, dengan mengatakan dia ‘sangat kesal’ mengenai insiden itu dan menyifatkannya sebagai tidak dijangka dan malang, menurut pegawai Korea Selatan.

Ia adalah sesuatu yang jarang berlaku bagi pemimpin Korea Utara untuk membuat permohonan maaf kepada Korea Selatan dalam segala isu. Tindakan Kim mungkin akan mengurangkan ketegangan di antara kedua-dua buah negara kerana diharap dapat meredakan sentimen anti-Korea Utara di Korea Selatan atas insiden kematian itu dan kritikan terhadap presiden liberal, Moon Jae-in.

Sebelum ini pada Julai 2008 seorang warga Korea Selatan Park Wang-ja maut ditembak di resort gunung Kumgang di Korea Utara ketika mengembara di zon larangan. Sehari selepas itu Korea Utara mengeluarkan kenyataan menyatakan kesal dengan kejadian itu tanpa permohonan maaf.

“Kim Jong Un, ketua Suruhanjaya Hal Ehwal Negeri, merasa kesal dan kecewa kepada presiden Moon Jae-in dan warga Korea Selatan kerana insiden yang tidak dijangka dan malang yang telah berlaku semasa Korea Selatan bergelut dengan pandemik koronavirus, penasihat kepada Moon, Suh Hoon memetik perutusan Korea Utara.

Kelmarin, Korea Selatan menuduh Korea Utara menembak salah seorang penjawat awamnya selepas menjum-painya terapung di perairan Korea Utara pada Selasa.

Pegawai Korea Selatan mengecam tindakan Korea Utara atas perbuatan mereka yang disifatkan sebagai ‘tindakan yang mengerikan’ dan mendesak agar yang bertanggungjawab supaya dihukum. Pegawai tertinggi Korea Selatan, Ahn Young Ho memberitahu semasa perjumpaan jawatankuasa parlimen pada Rabu bahawa Korea Utara besar kemungkinan membunuh lelaki tersebut atas aspek keselamatan yang melibatkan ‘penembakan mati’ sesiapa sahaja yang menghampiri sempadan secara haram. – AP

Orang ramai menyaksikan siaran berita yang menayangkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un membuat permohonan maaf terhadap insiden pembunuhan membabitkan pegawai Korea Selatan berhampiran dengan sempadan perairan negara. – AFP