Kim Kardashian beri hadiah, hargai jasa pekerja

Menghargai jasa pekerja dan kru belakang tabir program realiti Keeping Up With The Kardashians, bintang sensasi Kim Kardashian menghadiahkan setiap mereka seutas jam tangan mewah jenama Rolex.

Menurut laporan DailyMail, Kim dan keluarga memberikan hadiah jam tangan mewah itu yang dianggarkan bernilai AS$10,000 kepada semua kru yang terlibat.

Difahamkan keluarga ini mengeluarkan belanja sebanyak AS$300,000 untuk hadiah berkenaan.

Rata-rata kru produksi meluahkan rasa terharu dan bersedih kerana terpaksa berpisah dengan program realiti yang sudah bertahan hampir 15 tahun itu.

Malah, selepas penggambaran terakhir mereka diraikan dalam satu majlis berskala kecil memandangkan dunia kini sedang berdepan pandemik COVID-19.

“Okay kawan-kawan, kita baru sahaja menyelesaikan penggambaran untuk selamanya. Ini benar-benar selamanya kerana ia sudah berakhir.

“Kita tak akan ada penggambaran lagi… 15 tahun dan 20 musim penuh kegilaan dan rasa cinta,” kata isteri Kanye West itu.

Program realiti Keeping Up With The Kardashian pertama kali ditayangkan pada 2007 dan merupakan program televisyen paling banyak tontonan sehingga mendorong banyak produksi menghasilkan program serupa. – Agensi

Kim dan keluarga memberikan hadiah jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai AS$10,000 kepada semua kru yang terlibat. – Agensi