LOS ANGELES – Bintang realiti televisyen, Kim Kardashian, yang dirompak di Paris tahun lalu, dilaporkan akan membuat penampilan istimewa dalam filem Oceans Eight, membabitkan rompakan barang kemas.
Filem berkenaan sedang dalam pembikinan di Muzium Seni Metropolitan selama beberapa hari, dengan ramai bintang terkemuka membuat penampilan istimewa dalam adegan rompakan dramatik itu.
Kardashian dilihat di lokasi penggambaran dengan adik perempuannya, Kendall Jenner, baru-baru ini.
Menurut sumber, adegan itu membabitkan kecurian rantai mahal di bilik air muzium berkenaan.
Sumber berkata, Kardashian terbabit dalam filem itu, walaupun tidak pasti sama ada beliau memegang peranan mangsa dan sekadar menunjukkan wajah di tengah orang ramai.

Pelakon utama filem berkenaan termasuk Sandra Bullock, Cate Blanchett, Rihanna, Anne Hathaway, Sarah Paulson dan Mindy Kaling.
Sumber berkata: “Kami terkejut kerana Kim muncul untuk menjalani penggambaran. Beliau kelihatan amat trauma dengan kejadian di Paris. Namun, dia masih mampu tampil dalam filem yang menonjolkan rompakan barang kemas.”
Pegawai publisiti Kardashian mengesahkan beliau membuat penampilan istimewa dalam filem itu, tetapi enggan mengulas lanjut.