Kim lebih yakin selepas jumpa Xi

SEOUL, 11 Jan – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un lebih yakin dalam rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), selepas mengadakan rundingan keempat dengan Presiden China Xi Jinping, menurut para penganalisis, meskipun ketika Seoul menggesa beliau supaya berusaha dengan lebih lagi.

Beijing adalah satu-satunya sekutu utama Pyongyang dan pembekal utama perdagangan dan bantuan bagi Utara dan hubungan mereka terus terjalin sejak perang Korea.

Hubungan itu suram dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan apabila China kecewa dengan program nuklear jirannya itu tetapi menjadi mesra secara dramatik dalam tahun 2018 apabila Kim dan Xi mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali, setiap pertemuan diadakan sejurus sebelum sidang kemuncak Kim dengan Presiden Donald Trump dan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Moon Jae-in.

Pertemuan kedua Kim dan Trump itu dijangkakan tidak lama lagi dan pemimpin-pemimpin Korea Utara dan China telah mengadakan rundingan berhubung keselamatan yang kali ini diadakan di Beijing dan lebih serius dari mana-mana rundingan mereka pada tahun lalu, menurut Lim Eui-chul, profesor pengajian Korea Utara di Universiti Kyungnam.

Kim dan Xi bersetuju untuk bersama-sama mengadakan kajian dan menyelaraskan ‘pengurusan situasi di semenanjung Korea dan terutama sekali mengenai rundingan penamatan program nuklear’, menurut laporan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Itu akan memberikan China peranan utama dalam rundingan AS-Korea Utara akan datang, kata Lim memberitahu AFP, meskipun ia tidak terlibat dalam rundingan itu.

“Hubungan lebih rapat antara China dan Korea Utara dalam usaha gabungan keselamatan tidak akan disambut baik oleh AS,” Lim memberitahu AFP.

“Itu mungkin adalah cabaran bagi Washington untuk berdepan dengan pegawai-pegawai Pyongyang dengan sokongan padu dari jirannya.”

Proses rundingan telah menemui jalan buntu sejak pertemuan pertama yang begitu ditonjolkan, antara Kim dan Trump di Singapura. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita China, Xinhua menunjukkan reaksi Kim Jong Un dan Xi Jinping semasa berada di Great Hall of the People di Beijing pada 8 Januari 2019. – AP