Kim periksa kapal selam baharu

SEOUL, KOREA SELATAN, 23 JULAI – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un telah memeriksa kapal selam yang baharu dibina dan mengarahkan pegawai supaya mempertingkat lagi keupayaan tentera negara, lapor media negeri hari ini, tatkala Utara menambah tekanannya ke atas Amerika Syarikat (AS) sebelum meneruskan diplomasi nuklear.

Pada minggu lalu, Korea Utara berkata ia mungkin membatalkan penggantungan 20 bulan ujian nuklear dan peluru berpandu untuk membantah latihan tentera di antara AS dan Korea Selatan yang dianggap oleh Korea Utara sebagai satu latihan serangan.

Agensi Berita Korea melaporkan Kim menyatakan ‘perasaan puas hati’ dengan kapal selam itu selepas mendengar maklumat mengenai data operasi dan taktikal dan sistem persenjataan.

Kim ‘menekankan keperluan untuk menambah keupayaan pertahanan negara dengan menumpu usaha pada pembangunan senjata tentera laut dan peralatan seperti kapal selam,” menurut KCNA.

KCNA tidak berkata bila dan di mana pemeriksaan kapal selam oleh Kim diadakan. Ia berkata kapal selam itu akan beroperasi ‘tidak lama lagi.’

Pembinaan kapal selam baharu mencadangkan Korea Utara telah menambah keupayaan tenteranya meskipun diplomasi nuklear dengan AS yang bermula pada awal tahun lalu. Korea Utara berkali-kali menyatakan kerelaannya untuk membatalkan program nuklear sebagai tukaran kepada faedah politik dan ekonomi. – AP

Gambar yang dikeluarkan pada 23 Julai oleh kerajaan Korea Utara menunjukkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un (kiri) memeriksa kapal selam yang baharu dibina yang akan beroperasi tidak lama lagi, di lokasi tidak diketahui di Korea Utara. – AP