Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kim setuju tutup tapak ujian Tongchang-ri

    SEOUL, 19 Sept – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan membuat kunjungan bersejarah ke Seoul, menurutnya hari ini dan bersetuju untuk menutup tapak ujian peluru berpandu di depan pemerhati antarabangsa, ketika berlangsungnya persidangan antara-Korea di Pyongyang.

    Bagaimanapun, perkembangan pada isu penting mengenai pemusnahan senjata nuklear Korea Utara masih terhad, meskipun Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berharap untuk menghidupkan semula momentum yang terbantut antara Utara dan Amerika Syarikat (AS).

    Kim berkata bahawa dia akan membuat kunjungan ke Seoul ‘dalam masa terdekat’, dengan menambah bahawa persetujuan yang ditandatanganinya dengan Moon ‘membawa harapan penduduknya, yang berazam bagi penyatuan semula’.

    Kunjungan ke Seoul itu akan menjadi yang pertama dilakukan oleh pemimpin Utara sejak berakhirnya Perang Korea 1950-53, apabila permusuhan mula berkurang dengan gencatan senjata berbanding perjanjian keamanan, menyebabkan semenanjung itu secara teknikalnya masih berperang.

    Skrin TV memaparkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un semasa sidang media bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in. – AFP
    Gambar fail menunjukkan seorang anggota tentera Korea Utara berkawal di Stesen Pelancaran Satelit Sohae, Tongchang-ri pada 8 April 2012. Utara menyatakan bahawa ia akan menutup tapak pelancaran Tongchang-ri. – AFP

    Perbincangan di Pyongyang menuju ke arah keharmonian, di mana kedua-dua pemimpin hari ini bersetuju untuk mengadakan perkumpulan keluarga secara kerap, bekerjasama ke arah menyambungkan rangkaian jalan raya dan landasan kereta api serta ke arah pembidaan bersama Olimpik 2032.

    Moon berkata kunjungan Kim ke Seoul mungkin terjadi tahun ini dan akan menjadi ‘penentu’ dalam hubungan Korea Selatan dan Utara.

    Utara telah bersetuju untuk ‘menutup secara kekal’ tapak ujian peluru berpandu dan kemudahan pelancaran di Tongchang-ri ‘dengan kehadiran para pakar dari negara-negara tertentu’, tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda