Kim Swee sasar lengkap karier gemilang bersama Sabah FC

KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Selepas meninggalkan seketika keghairahan di kawasan teknikal padang, pendorong utama Datuk Ong Kim Swee kembali ke kancah kejurulatihan sebagai pengendali baharu Sabah FC lebih kepada kepuasan diri.

Jurulatih berusia 50 tahun itu, yang telah melakar beberapa kejayaan bersama skuad kebangsaan Malaysia di pentas antarabangsa, berkata keputusan itu bagi memastikan karier kejurulatihannya lengkap dengan segala kriteria diperlukan.

Jelasnya ia bukan soal membuktikan kembali kemampuannya selepas ditunjukkan jalan keluar dari membimbing skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia susulan prestasi buruk pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kalau kita nak bandingkan dengan 2019 itu adalah pasukan kebangsaan iaitu skuad B-22 negara, tetapi kini saya bersama pasukan kelab di mana kejohanan yang berbeza dan bukan peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kim Swee yang masih menyandang jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak 1 Januari tahun ini, akan melepaskan posisi itu untuk menyertai skuad Sabah FC berkuat kuasa 1 Oktober ini. – Bernama