Kim tak suka lihat badan sendiri ketika hamil

Kim Kardashian mengakui melalui saat sukar apabila berhadapan tekanan daripada pihak media ketika hamil anak sulung pada lapan tahun lalu.

Kim atau nama sebenarnya, Kimberly Kardashian West, 41, membuat pendedahan tersebut ketika diundang menjadi tetamu program podcast, We Are Supported By baru-baru ini.

“Saya bukan seorang wanita yang kelihatan cantik ketika sedang hamil dan saya tidak suka perkara itu.

“Saya benci tengok diri sendiri dalam keadaan berbadan dua.

“Saya tengok mak, kakak serta adik saya mengandung dan mereka semua kelihatan sangat comel… tapi ia berlainan bila saya pula yang hamil (kelihatan tidak cantik),” katanya.

Bintang siri Keeping Up With The Kardashians ini juga turut mengkritik pihak media yang sering memuat naik berita kehamilan serta kenaikan berat badannya pada waktu tersebut.

“Bila mereka siarkan cerita macam itu, saya akui ia sedikit sebanyak membunuh keyakinan diri saya pada ketika itu.

“Masa itu rumah saya tiada kemudahan gimnasium dan saya pula terlalu malu dan segan nak pergi gim sebab tak nak orang tahu yang saya cuba untuk kurangkan berat badan ketika sedang berbadan dua,” kongsinya lagi.

Kim mendirikan rumah tangga dengan bintang rap, Kanye West pada 24 Mei 2014 namun pasangan ini dilaporkan sudah berpisah sejak Disember tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka mempunyai empat cahaya mata iaitu, North, 8, Saint, 6, Chicago, 3, dan Psalm yang kini berusia dua tahun. – Agensi

Kim Kardashian memiliki empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Kanye West. – Agensi