Kim, Trump lakar sejarah

SINGAPURA, 12 Jun – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada Selasa menandatangani satu dokumen, yang disifatkan beliau sebagai bersejarah, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump pada akhir ‘rundingan damai nuklear’ yang berlangsung di Hotel Capella di Pulau Sentosa, di sini, hari ini.

“Tinggalkan masa lalu dan kita akan menandatangani satu dokumen bersejarah. Dunia bakal menyaksikan satu perubahan besar. Saya ingin melahirkan penghargaan kepada Presiden Trump kerana merealisasikan pertemuan ini. Terima kasih,” katanya menerusi penterjemah.

Majlis menandatangani dokumen itu disiarkan secara langsung oleh hos penyiar Mediacorp.

Sementara itu, Trump menyifatkan dokumen tersebut sebagai ‘amat komprehensif’ dan kedua-dua pihak ‘akan kagum dengan hasilnya’.

Trump dijangka mengadakan sidang akhbar pada pukul 2:30 petang, dua jam lebih awal daripada yang ditetapkan sebelum ini.

Donald Trump (kanan) dan Kim Jong Un berjabat tangan selepas majlis menandatangani satu dokumen yang berlangsung di Hotel Capella, Pulau Sentosa, kelmarin. – AFP

Trump berkata keseluruhan proses adalah ‘hebat’ dan ‘amat berbangga dengan apa yang berlaku hari ini’.

“Hubungan keseluruhan kami dengan Korea Utara dan Semenanjung Korea akan bertukar kepada situasi yang berbeza berbanding sebelum ini.

Kami berdua ingin melakukan sesuatu dan kami berdua pasti akan melaksanakannya.

“Kami telah menjalinkan satu ikatan yang amat istimewa, jadi orang akan berasa amat kagum dan gembira, dan kami akan menyelesaikan satu masalah yang amat besar serta berbahaya kepada dunia. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Kim.”

Kami menghabiskan banyak masa bersama hari ini, satu tempoh yang amat intensif, dan saya boleh katakan bahawa ia membuahkan hasil yang lebih baik dan melangkaui jangkaan.

“Saya rasa (hasilnya) jauh lebih baik. Saya telah melihat pelbagai laporan. Saya boleh katakan ia jauh lebih baik daripada apa yang dijangkakan oleh sesiapa pun.

“Ini akan membawa kepada hasil yang lebih banyak dan ia merupakan satu penghormatan besar untuk berada di sini bersama anda,” katanya panjang lebar.

Ditanya sama ada beliau akan menjemput Kim ke Rumah Putih, Trump menjawab, “Sudah tentu saya akan berbuat demikian.”

Trump turut menyifatkan Kim sebagai seorang ‘yang memiliki personaliti hebat dan amat pintar’. “Sememangnya satu gabungan yang baik,” kata Trump.

Menjawab satu soalan, Trump berkata, “Beliau adalah seorang yang layak dibawa berunding bagi pihak rakyatnya. Beliau amat layak dan seorang perunding yang amat pintar.

“Memang begitulah sepatutnya. Kami telah melalui hari yang amat menarik. Kami banyak belajar mengenai diri masing-masing.” – Bernama