SEOUL, 23 MEI – Kim Jong Un yang tidak memakai pelitup muka menjadi salah seorang pengusung keranda pada majlis pengebumian bagi pegawai tentera tertinggi, lapor media kerajaan Korea Utara hari ini, beberapa hari selepas Pyongyang mendakwa penularan COVIDnya kini berjaya dikawal.
Kim hari ini menghadiri majlis pengebumian Hyon Chol Hae, seorang marsyal tentera Rakyat Korea dan dilaporkan sebagai mentor Kim yang menyelianya bagi kepimpinan sebelum ayahnya dan ketua sebelumnya, Kim Jong Il meninggal dunia pada 2011.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) menyiarkan gambar Kim tidak memakai pelitup muka, mengangkat keranda Hyon bersama para pegawai rejim yang lain, yang memakai pelitup muka.
Pemimpin Korea Utara itu telah meletakkan dirinya dalam kedudukan penting berhubung respons COVID negaranya, menyalahkan pegawai kerajaan malas yang memburukkan lagi wabak varian Omicron.
Pada hujung minggu, KCNA berkata epidemik sekarang ‘dapat dikawal’ dan melaporkan jumlah kematian ‘berkurangan dari sehari ke sehari’.
Pyongyang melaporkan 167,650 kes ‘demam’ hari ini menerusi KCNA, turun dari jumlah kemuncaknya sekitar 390,000 seminggu yang lalu.
Ia melaporkan satu kematian dan mendakwa kadar kematian bagi ‘demam’ adalah 0.002 peratus. – AFP