Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Kimchi Korea tawan selera global

    KUALA LUMPUR – Produk makanan dibungkus Korea Selatan, terutama sajian sampingan tradisional jeruk sayur-sayuran berlada “kimchi” termasuk yang menggunakan kubis panjang, terbukti terus popular di peringkat dunia sehinggakan mencatat pertumbuhan jualan luar biasa.

    Sudah pasti, populariti itu dipacu oleh fenomena ‘Hallyu’ (Gelombang Korea) menerusi budaya serta industri kandungannya yang sebegitu popular.

    Sehubungan itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila tajuk berita “South Korea’s Kimchi Exports Hit New High in 2021” (Eksport Kimchi Korea Selatan Cecah Rekod Baharu pada 2021) terpampang dalam senarai berita baru-baru ini.

    Malah, ini merupakan kali pertama dalam tempoh 12 tahun menyaksikan Korea Selatan mencatatkan lebihan dalam dagangan kimchi, lapor agensi berita Yonhap baru-baru ini.

    Menurut laporan itu, penghantaran keluar sajian pedas itu mencecah paras rekod AS$159.9 juta (AS$1= RM4.19) pada 2021 yang membawa kepada lebihan dagangan sebanyak AS$19.2 juta dalam sektor terbabit.

    Produk makanan dibungkus Korea Selatan, Kimchi terbukti terus popular di peringkat dunia sehinggakan mencatat pertumbuhan jualan luar biasa. – Bernama

    Ini jelas membuktikan pengaruh Korea Selatan yang dicetuskan oleh budaya ‘K-Pop’ dan ‘K-Drama’ ke atas cita rasa makanannya yang secara tidak langsung turut memberi manfaat terhadap unjuran ekonomi Korea Selatan.

    Di Malaysia misalnya, dominasi pengaruh sedemikian juga ketara, lebih-lebih lagi dengan kehadiran saluran Netflix yang memberi lebih banyak pendedahan membabitkan hiburan Korea Selatan dalam pasaran domestik.

    Seorang warga Korea Selatan yang menetap di sini, memberitahu Bernama bahawa kimchi yang dijual di Malaysia juga setanding dengan produk di negara asalnya.

    “Bagi saya, ini berikutan sebahagian besar daripada kimchi yang dibeli oleh keluarga (sama ada daripada pasar raya utama atau pasar raya Korea di sini) atau yang dimakan, dibuat oleh pengeluar Korea Selatan di Malaysia dan menggunakan teknik serta resepi sama di negara itu,” kata jejaka berusia 29 tahun yang enggan namanya dikenali itu mengenai kimchi yang turut dilabelkan sebagai antara sajian paling sihat di dunia.

    Sementara itu Ketua Penyelidik Institut Kimchi Dunia, Dr Lee Chang Hyeon memberitahu Bernama, eksport kimchi terus meningkat secara ketara sejak lima tahun lepas.

    “Trend yang kian meningkat tidak hanya ketara di kawasan permintaan tinggi sedia ada di Amerika Syarikat dan Jepun, tetapi juga di negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand yang sebelum ini mencatat permintaan rendah.

    “Di Malaysia secara khususnya mencatatkan purata eksport tahunan kimchi sebanyak 28.7 peratus bagi tempoh 2017 hingga 2021, sekali gus menjadikan negara itu pengimport ke-10 terbesar kimchi dari Korea Selatan manakala pada 2019 dan 2020, import meningkat kira-kira 43 peratus tahun ke tahun. Ini jelas membuktikan populariti kimchi di negara berkenaan,” katanya dalam temu bual menerusi e-mel.

    Mengulas selanjutnya, Lee berkata peningkatan eksport itu juga boleh dikaitkan dengan minat terhadap makanan kesihatan yang berupaya meningkatkan imunisasi serta pertumbuhan pasaran dalam talian ketika pandemik COVID, selain permintaan ketara terhadap budaya pop Korea.

    “Pada masa sama, peningkatan eksport kimchi juga didorong oleh sekatan terhadap aktiviti luaran akibat COVID yang dapat dilihat menerusi aktiviti mencuba makanan daripada kandungan budaya Korea yang popular menerusi pembelian secara dalam talian.

    “Bagi kimchi misalnya, faktor utama itu adalah gabungan pelbagai kaedah berserta budaya makanan dari negara import yang dikongsi menerusi saluran platform video global dan media sosial agar ia turut dinikmati dengan cara tempatan,” katanya.

    Pada masa ini sebanyak 934 kemudahan pengeluaran industri kimchi dilaporkan dengan Kementerian Keselamatan Makanan dan Ubat-Ubatan kerajaan Korea Selatan.

    Menurut data institut yang terletak di Gwangju, daripada angka itu, 616 syarikat merupakan pengeluar dan menjual kimchi pada 2019 manakala jumlah pekerja industri kimchi dianggarkan seramai 9,510 orang.

    Jualan syarikat itu mencecah AS$1.35 trilion atau RM5.66 bilion yang membabitkan pengeluaran sebanyak 486,000 tan kimchi dengan eksport kira-kira 30,000 tan dan selebihnya diedarkan di serata Korea Selatan.

    Tanpa mengambil kira kimchi yang dihasilkan oleh pengeluar makanan itu, jumlah kimchi yang dihasilkan oleh isi rumah Korea adalah 747,000 tan manakala 368,000 tan lain dibuat oleh restoran dan kemudahan makanan.

    Ditanya mengenai prospek perdagangan kimchi, Lee menjangkakan lebihan dagangan itu akan berkembang berasaskan dua faktor – kesedaran berterusan serta jumlah penggunaan di luar negara.

    “Usaha menerusi penyelidikan berteraskan sains pada masa depan akan menyaksikan aspek seperti fungsi kesihatan, kecemerlangan kualiti dan keselamatan kimchi Korea dapat dikenal pasti.

    “Tidak ketinggalan aspek pembangunan pelbagai resipi bagi menikmati kimchi berdasarkan cita rasa pengguna tempatan serta pembangunan pelbagai jenis produk proses kimchi seperti sos kimchi. Sekiranya ada lebih daripada 100 negara yang mengimport kimchi Korea, kita akan terus menyaksikan lebihan dagangan berikutan peningkatan eksport makanan itu.

    “Dalam era ini, sememangnya dijangkakan wujud penyetempatan kimchi yang mana orang akan membeli dan memakannya di negara masing-masing selain membuat kimchi menggunakan sayur-sayuran tempatan,” katanya.

    Lee berkata, kesemua eksport kimchi dari Korea Selatan selamat kerana dihasilkan di kemudahan pengeluaran perindustrian disahkan atau diperakui HACCP dengan jaminan kebersihan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...