Kimmich kekal rekod kemenangan Bayern Munich

MOSCOW, 28 OKT – Penjaring gol kemenangan Joshua Kimmich mengakui juara bertahan Bayern Munich bekerja keras untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lokomotiv Moscow, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan kelab gergasi Jerman berkenaan mengekalkan rekod kemenangan ke-13 berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara.

Selepas Leon Goretzka menjaringkan gol di awal perlawanan buat Bayern di Rusia, Lokomotiv menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah Anton Miranchuk berikutan serangan pantas pada minit ke-70.

Bagaimanapun, pemain perancang tengah Jerman, Kimmich memastikan Bayern kekal berada di tempat teratas kumpulan apabila meledakkan gol pada minit ke-79.

“Kami bekerja keras untuk kemenangan. Mereka tidak beraksi teruk, namun kami seharusnya menentukannya di awal permainan.

“Mereka mempunyai beberapa serangan balas berbahaya, tetapi di penghujungnya kami gembira kerana berjaya menang sekali pun tidak beraksi pada tahap terbaik kami,” kata Kimmich.

Lokomotiv mensia-siakan peluang keemasan pada awal perlawanan ketika percubaan penyerang Fyodor Smolov berdepan penjaga gawang Bayern, Manuel Neuer dari jarak dekat gagal.

Penyerang Bayern, Robert Lewandowski membawa juara Eropah itu mendahului perlawanan dengan gol yang diciptakan oleh pemain antarabangsa Perancis, Corentin Tolisso dan Benjamin Pavard.

Kimmich menghukum pasukan tuan rumah beberapa saat kemudian ketika dia menerima bola di luar kotak penalti dengan satu sentuhan cantik dan menjaringkan gol kemenangan Bayern. – AFP

Aksi Joshua Kimmich ketika mengawal bola semasa perlawanan Liga Juara-Juara UEFA antara Lokomotiv Moscow dan Bayern Munich di Moscow semalam. – AFP