Kini boleh fokus lakonan

Pernah memperlahankan karier lakonan kerana berniaga, Rozita Che Wan mula aktif membintangi telefilem dan drama selepas perniagaan stabil.

Rozita atau mesra disapa Che Ta memberitahu, tahun ini, dia terbabit dalam projek telefilem Tok Moh Talent Agency dan drama, Suri Katriana. Ketika ini, Che Ta sibuk di lokasi penggambaran drama Janda Metropolitan yang menghimpunkan ramai nama besar seperti Ziana Zain, Datuk Ziela Jalil dan Ifa Raziah.

“Sebelum ini, saya perlu beri perhatian kepada bisnes… Saya tak boleh lepas tangan. Sekarang, semuanya sudah kukuh. Jadi, saya boleh buat banyak benda termasuk berlakon. Namun, saya tidak menerima watak sembarangan. Dalam drama Suri Katriana, saya lihat watak yang dibawa sangat menarik. Saya pegang watak Puan Sofea iaitu ibu kepada pelakon Nazim Othman. Bagi drama Janda Metropolitan pula, saya pegang watak presiden kelab janda… Okay juga,” katanya kepada media.

Selain berniaga, Che Ta yang juga isteri kepada pelakon, Zain Saidin, mengusahakan syarikat produksi, Padusi Pictures. Che Ta berkata, selain karakter, dia lebih suka bekerjasama dengan syarikat produksi yang menyediakan jadual penggambaran anjal.

“Jadual biarlah tidak terlalu ketat. Jadi, saya boleh beri tumpuan kepada perkara lain termasuk memantau perniagaan. Selain itu, saya suka pasukan kerja yang menyenangkan. Apabila kita gembira berada di set penggambaran, semua kerja dapat disiapkan dengan senang hati,” katanya. – Agensi

Rozita Che Wan mula aktif membintangi telefilem dan drama selepas bisnes stabil. – Agensi