KIP berjaya jalani pembedahan

KUALA LUMPUR, 14 OGOS – Penunggang Moto2 kebangsaan Malaysia, Khairul Idham Pawi (KIP) berjaya menjalani pembedahan tangan kanannya di Hospital Universitari Dexeus di Barcelona, Sepanyol pada Selasa.

Pembedahan selama dua jam itu bertujuan menstabilkan kecederaan pelumba Petronas Sprinta Racing itu di Grand Prix Sepanyol pada Mei.

ICATME Department of Traumatology, Dr Xavier Mir dan pasukannya melakukan pembedahan itu dengan memasukkan skru pada tulang jari KIP yang disusun semula.

“KIP menjalani potongan kecil di jarinya tiga bulan lepas, dan kini keadaan sudah pulih,” Dr Mir disebut sebagai berkata dalam kenyataan dikeluarkan oleh Pasukan Petronas Sprinta Racing.

“Kini, pembedahan kedua membantu pembinaan semula tulang itu dengan memasukkan ‘phalange’ di tempatnya,” kata Dr Mir.

Sementara itu, Khairul Idham mengucapkan terima kasih kepada Dr Mir dan pasukannya kerana melakukan pembedahan dengan jayanya, dan menambah beliau kini akan pulang ke tanah air untuk menjalani proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi.  – Bernama

Gambar fail pada 31 Januari menunjukkan Khairul Idham Pawi ditemu bual secara eksklusif di Bernama News Channel (BNC), Wisma Bernama. – Bernama