Kira-kira 170 pekayuh meriahkan acara Funbike

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Lebih kurang 170 penunggang basikal warga Indonesia berkayuh mengelilingi Bandar Seri Begawan baru-baru ini bagi acara Funbike yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Bandar Seri Begawan bersama Persatuan Masyarakat Indonesia (Permai) sempena meraikan Perayaan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-75 Kemerdekaan Republik Indonesia.

Para peserta melakukan kayuhan sejauh 16 kilometer bermula dari Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, melintasi Jabatan Perdana Menteri menuju ke Muzium Alat Kebesaran Diraja kemudian berakhir semula di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

“Alhamdulillah, kita dapat menyelenggarakan acara Funbike pagi ini, yang tidak bertujuan untuk mencari pemenang melainkan menjaga kesihatan dan juga untuk mengeratkan silaturahim sesama warga Indonesia di Brunei,” demikian dikongsikan Duta Besar Republik Indonesia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Sujatmiko, semasa merasmikan acara Funbike tersebut.

Tuan Yang Terutama bersama isterinya, Nani Sujatmiko, kemudian turut menyertai acara kayuhan berbasikal tersebut bersama kakitangan KBRI; Ketua Permai, Mukhidin Umar, dan para peserta.

Setelah sampai ke garisan penamat, acara diteruskan dengan penyerahan Piagam Penghargaan kepada empat warga komuniti Indonesia atas sumbangan mereka bagi komuniti Indonesia, dan penyampaian hadiah kepada 27 pemenang sukan olahraga dan fotografi yang diadakan pada awal hingga pertengahan Ogos lalu sempena Perayaan HUT Kemerdekaan Republik Indonesia.

“Setiap tahun, KBRI mengadakan Pesta Rakyat yang lebih meriah namun untuk tahun ini tidak dapat kami lakukan kerana pandemik COVID-19.

“Untuk itu, saya sampaikan penghargaan kepada semua pihak yang sama-mama menjayakan acara Funbike dan penyerahan hadiah ini,” ucap Tuan Yang Terutama.

Selain acara Funbike, beberapa permainan kanak-kanak turut menyemarakkan acara seperti lumba lari ‘kelereng’, makan keropok, kerusi joget, pindah bola, dan balap karung yang diikuti oleh kanak-kanak di kawasan KBRI.

Acara penutup tersebut dapat diadakan berikutan pelonggaran jumlah perkumpulan ramai di Brunei Darussalam seramai 200 orang.

Acara Funbike yang diadakan bersempena dengan Perayaan HUT ke-75 Kemerdekaan Republik Indonesia, baru-baru ini. – Gambar serahan KBRI