Kira-kira 400 syarikat Jepun muflis

TOKYO, 3 OGOS – Jumlah syarikat muflis di Jepun akibat COVID-19 kini mencecah 400, lapor agensi berita Sputnik memetik penyiar NHK hari ini.

Menurut data firma perunding Teikoku Databank, jumlah syarikat paling banyak muflis adalah sektor restoran dan perhotelan – masing-masing 54 dan 48. Sebanyak 95 syarikat muflis dilaporkan di Tokyo manakala 41 di Osaka.

Darurat yang berkuat kuasa di Jepun selama satu setengah bulan sehingga akhir Mei, memberi kesan negatif kepada pelbagai sektor perniagaan. Pada masa sama, NHK dalam laporannya mengatakan pembuat kereta Jepun kembali ke tahap pengeluaran sebelum krisis untuk pasaran domestik. – Bernama