Kiraan undi p’raya Ireland bermula

DUBLIN, 9 FEB – Pegawai Ireland memulakan pengiraan undi hari ini dalam pilihan raya umum yang diramalkan meletakkan parti perdana menteri Leo Varadkar dalam keputusan seri selepas kebangkitan parti republikan Sinn Fein.

Pengiraan bermula pada 0900 GMT selepas tinjauan meramalkan parti Fine Gael pimpinan Varadkar, parti Fianna Fail dan Sinn Fein semuanya menerima 22 peratus undi pilihan pertama dalam pilihan raya semalam.

Di pusat pengiraan utama Dublin, kakitangan membuka dan mengosongkan peti undi hitam di atas meja tatkala anggota parti memerhati.

Keputusan pengundian telah dibelenggu ketidakpastian disebabkan peningkatan sokongan terhadap Sinn Fein.

Tinjauan pendapat Ipsos MRBI ke atas 5,000 pengundi, dikeluarkan apabila pengundian ditutup semalam, meletakkan Fine Gael pada 22.4 peratus, Sinn Fein pada 22.3 peratus dan Fianna Fail pada 22.2 peratus.

Tinjauan mempunyai margin kesilapan sebanyak 1.3 peratus.

Bagaimanapun, Ireland menggunakan satu sistem pengundian boleh pindah untuk memilih beberapa pembantu dari setiap satu daripada 39 kawasan pengundian, menjadikannya sukar untuk mengekstrapolasi ramalan kerusi daripada tinjauan undi pilihan pertama.

Ini bermakna setiap undi daripada 3.3 juta pengundi akan dikira dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan akan datang.

Kira-kira 159 kerusi akan direbut dalam Dail, dewan parlimen Republik Ireland, namun mengisi kerusi berkenaan mungkin mengambil masa disebabkan memerlukan beberapa pusingan pengiraan. – AFP

Pengiraan undi bermula di pusat pengiraan bandar Dublin di pusat RDS di Dublin, Ireland kelmarin. – AFP