Kirim hadiah pengganti diri

KUALA LUMPUR – Mengirim hadiah merupakan satu daripada kaedah rakyat Malaysia menzahirkan ingatan kepada orang tersayang yang lama terpisah disebabkan penguatkuasaan kawalan pergerakan.

Bagi Umi Syamimi Md Shah, 26, yang tinggal di Kuala Lumpur, biasanya dia memilih makanan seperti kek untuk dihantar kepada ibu bapanya di Alor Setar, Kedah bukan sahaja sebagai ‘kiriman rindu’  tetapi juga sebagai pemberi semangat menghadapi dugaan kawalan pergerakan.

“Sebelum ini, jika balik ke kampung, saya bawa ibu dan ayah makan di luar, namun dengan keadaan sekarang, saya menempah makanan seperti kek dan minta penjual menghantar ke rumah ibu bapa saya.

“Saya juga meminta penjual makanan untuk menulis ucapan pada kiriman tersebut. Sekurang-kurangnya dapat juga melepaskan rindu,” kata Umi Syamimi yang hampir setahun setengah tidak pulang ke Alor Setar.

Sementara itu, ibu kepada Umi Syamimi, Rohaya Hashim, 59, berkata menerima kiriman daripada anaknya yang jauh di mata, sekurang-kurangnya menjadi pengubat rindu dan menjadikannya kembali bersemangat.

“Tidak dinafikan rasa sunyi kadang-kadang membuatkan saya berasa tertekan, namun saya harus positif diri dan yakin dapat berjumpa dengan anak cucu kembali selepas pandemik COVID-19 berakhir,” kata Rohaya.

Syazwan Alias, 31, seorang anggota keselamatan yang bertugas di Kuantan, Pahang  pula berkata dia biasanya akan memesan makanan kegemaran anak-anak dan isterinya, atau memberi hadiah, secara dalam talian untuk dihantar terus ke rumah mereka di Kuala Lumpur.

Katanya, tinggal berjauhan dengan anak-anak dan isteri dan tidak dapat pulang ke Kuala Lumpur pada hujung minggu seperti lazimnya disebabkan sekatan rentas negeri, menyedarkannya tentang erti kasih sayang yang sebenar.  

“Seringkali saya teringatkan isteri dan anak-anak. Saya teringat apa yang mereka suka. Jadi, kadangkala saya pesan makanan kegemaran mereka juga belikan mereka hadiah melalui laman e-dagang,” katanya yang mengakui pemberian sebegitu juga mampu untuk memberikan sokongan moral kepada isterinya yang berseorangan menjaga anak-anak mereka.

Bagi Siti Qalilah Mohd Paudzi,  31, yang menerima tempahan pelbagai jenis kek berserta gubahan bunga untuk cenderahati melalui perniagaannya ‘Joyah Buat’, beliau berasa bertanggungjawab menyampaikan amanah daripada pengirim.

“Setiap bungkusan yang ditempah ada amanah yang dikirim, ada perasaan kasih sayang, rindu dan harapan yang dibawa, jadi apabila ia disampaikan kepada penerima, saya juga berasa gembira dan puas apabila turut dapat menyebarkan sesuatu yang positif di kala semua orang berjuang dengan pandemik COVID-19 ini,” katanya.   

Menurut Siti Qalilah, antara pengalaman yang dilaluinya adalah menghantar kiriman ke Pusat Rawatan COVID-19 untuk ibu rakannya.

“Saya sedar dengan risiko yang ada tetapi bagi saya, pesakit COVID-19 juga perlu diberikan ‘semangat’ positif,” ujarnya.

Bagi Bidayah Zulkepli, 30, seorang pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi tempatan, selain mengajar dalam talian dia juga menjalankan perniagaan menjual biskut Scottish Shortbread melalui laman e-dagang Shopee.

Menurut beliau, jika dahulu biskut ini hanya terjual ketika musim perayaan namun kini pelanggan membelinya sebagai kudap-kudapan ketika bekerja dari rumah juga sebagai hadiah istimewa untuk orang tersayang.

“Ada juga yang membeli untuk dihantar kepada yang tersayang berserta nota rindu mereka, kadangkala saya sendiri tersentuh dengan nota yang dikirimkan.

“Saya akan cuba memberikan rekaan yang terbaik untuk nota-nota tersebut,” tambah Bidayah. – Bernama