Kiriman yang menghina Islam dan Rasulullah dipantau

LABUAN, 22 JUN – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memantau sebarang kiriman dalam talian yang didapati menghina Islam dan Nabi Muhammad, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau berkata terdapat beberapa  kes berkaitan kiriman dalam pelbagai platform media sosial yang dihadapkan ke muka pe-ngadilan dan ini menunjukkan keseriusan Jakim dalam menangani isu ini.

“Malaysia ialah negara yang penduduk majoritinya beragama Islam dan ajaran Islam perlu dihormati  di semua platform.

Jakim menerusi unit pemantauannya  peka terhadap kiriman dalam talian yang menghina Islam  dan Nabi Muhammad … kami menganggap ini sebagai satu kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas satu dialog awam bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan   (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Kompleks Darul Kifayah di sini hari ini.

Ahmad Marzuk berkata adalah penting untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang agama. “Fenomena (kiriman yang menghina agama) di dalam negara ini masih berleluasa malah sebelum kami (Perikatan Nasional) mengambil alih kerajaan,” katanya. – Bernama