Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Kisah anak muda penjinak lembu

    MELAKA – ‘Abang’ dan ‘Adik’ memperlahankan langkah sebaik sahaja kedengaran ‘Hoooo’, suara lantang mengawal pergerakan dua ekor lembu berwarna putih dan kelabu yang menarik pedati berwarna coklat gelap, berbumbung unik ini.

    Dengan bonggol bersaiz hampir sejengkal jari orang dewasa, dua ekor lembu itu adalah antara lapan ‘nadi penggerak’ kereta lembu yang menjadi sebahagian identiti khazanah sejarah dan pelancongan di negeri penuh bersejarah, Melaka.

    Mungkin ramai yang tidak tahu tugas melatih dan menjinakkan haiwan itu untuk patuh pada arahan bukanlah sesuatu yang mudah.

    Inilah yang dikongsi generasi ke-enam pengajar dan pembuat kereta lembu di Melaka, Adam Hazrik Zulhilmi, 32, dengan Bernama baru-baru ini.

    Banyak faktor termasuk jenis baka dan hubungan antara lembu itu perlu diambil kira bagi memudahkan proses mengajar haiwan berkenaan untuk patuh kepada arahan ketika menarik kereta lembu. 

    “Biasanya orang tahu mengenai penjinak kuda, harimau atau gajah. Lembu pun ada cara tersendiri untuk dijinakkan terutamanya jika digunakan sebagai penarik kereta lembu,” jelas Adam Hazrik.

    Lembu penarik ‘Abang’ (kiri) dan ‘Adik’ sedang menarik pedati yang juga dikenali sebagai kereta lembu ketika ditemui di Hang Tuah Equine Park dekat perkampungan Hang Tuah baru-baru ini. – Bernama
    Pengajar dan pembuat kereta lembu Adam Hazriq bersama ‘Abang’ (kanan) dan seekor lagi lembu penarik ‘Adik’ ketika ditemui di Hang Tuah Equine Park dekat perkampungan Hang Tuah baru-baru ini. – Bernama
    Adam Hazriq memberi makan kepada ‘Abang’ (tengah) bersama seekor lagi lembu penarik ‘Adik’. – Bernama

    Bonggol, pusar dan kuku

    Menurut anak jati kelahiran Kampung Tambak Bugis, Telok Mas, Melaka Tengah ini, lembu baka Brahman atau Siam adalah yang terbaik untuk digunakan sebagai penarik kereta lembu kerana mempunyai bonggol yang besar. 

    “Kedua-dua baka ini juga lebih tenang dan selalunya kita akan beli dan mula latih lembu dari umur setahun atau sudah bersalin gigi dua kali. Untuk tugas menarik kereta lembu ini, hanya lembu jantan digunakan,” katanya dengan menambah, keluarga beliau memiliki lapan ekor lembu untuk menarik pedati.

    Bagimanapun, beliau menjelaskan, ada beberapa pantang yang perlu dielakkan dalam pemilihan lembu bagi tujuan ini. 

    Macam kedudukan pusar. Macam orang juga, kalau ada dua pusar, selalunya ia petanda nakal, ada perangai, sentiasa buat hal seperti suka meregang (mengeraskan badan/ meronta). Begitu juga kalau pusarnya ada di belakang daripada tempat dia kencing.

    “Lembu yang pusarnya satu, dekat dahi tapi bukan dekat tanduk, selalunya baik, senang diajar, dengar kata, tenang dan tidak mudah gelisah jika berada di tempat awam,” jelasnya.

    Selain pusar, keadaan dan bentuk kuku lembu juga menjadi antara kriteria utama pemilihan dan pembelian lembu yang dilakukan keluarganya sejak turun-temurun.

    “Kalau kuku jenis cantum, selalunya lembu itu jenis lasak. Jangan macam bentuk kuku babi kerana jenis ini selalunya cepat penat,” katanya, menambah lembu berkenaan dibeli daripada penternak lembu sekitar Pulau Pinang, Selangor, Johor, Kedah dan Kelantan.

    Kemahiran turun-temurun

    Untuk menjadikan kedua-dua ekor lembu jantan serasi, ia memerlukan kemahiran yang bukan sedikit dan menurut Adam Hazrik, atas sebab itulah beliau akan membeli dua ekor lembu jantan dari kandang yang sama. 

    “Tak semestinya lembu itu adik-beradik tapi kalau boleh dari kandang yang sama. Kita juga akan tengok bapa kepada lembu itu. Kalau bapanya baik, Insya-Allah anaknya juga akan okay. 

    “Tapi perkara ini bergantung juga kepada nasib. Kadang-kadang dapat seekor yang baik, seekor lagi nakal. Akan mencabar sikit jika ini berlaku kerana si baik ini akan terikut perangai si nakal,” katanya. 

    Mengakui tiada teknik pengajaran yang khusus, beliau menjelaskan, ia bergantung kepada lembu serta kemahiran mengajar dan menjinakkan haiwan itu yang diwarisi turun-temurun terutama daripada bapanya.

    “Jika selepas dua atau tiga kali latihan dan tidak serasi atau suka berlaga, mereka akan menukar pasangan lembu tersebut.  

    “Selalunya kalau pasangan lembu yang baik, tempoh menjinak akan ambil masa sekitar sebulan atau dua bulan sebelum digunakan menarik kereta lembu yang membawa pelancong,” jelasnya.

    Besi berduri alatan mengajar

    Berkongsi lebih lanjut, Adam Hazrik dan abang-abangnya, Samsudin Abdul, 44, dan Tajudin Abdul, 53,  mempunyai beberapa ‘senjata’ untuk menjinak dan melatih lembu berkenaan, antaranya, besi peregang dan anak kumbang yang berbentuk duri-duri tajam. 

    “Selalunya alat ini akan digunakan jika lembu suka meregang badannya kerana ini akan menyebabkan kayu pelantar yang diletak pada bonggolnya senget.

    “Jadi alat berduri ini akan diletakkan di bahagian leher dan apabila lembu hendak meregangkan badannya, besi berduri itu akan sedikit mencucuk (tanpa mencederakan) dan mengakibatkan lembu kembali pada posisi asal,” katanya yang turut menjelaskan kebiasaanya alat itu digunakan pada peringkat awal ke atas lembu yang nakal sahaja. 

    Mengakui situasi ditendang, ditanduk dan dilambung lembu merupakan asam garam setiap kali mengajar dan menjinakkan lembu, beliau berkata, melatih serta menjinakkan lembu mempunyai cabaran tersendiri biarpun beliau juga mempunyai kemahiran menjinakkan kuda. 

    “Kalau kuda kita latih seekor, tapi lembu untuk kereta lembu ni, kita kena latih dua ekor sekali gus sebab nak bagi serasi. 

    “Kita tak boleh nak jangka bila dia boleh naik ‘minyak’. Ada masa, ketika pasang pada pedati, okay. Tapi bila tengah berjalan dan ada yang terkejut akibat dihon kereta atau pelancong menyentuh pada bahagian sensitif, mulalah lembu akan memecut. Bila pecut, susah nak kawal tali yang diikat kepada kedua-dua lembu,” katanya.

    Penggunaan beberapa frasa seperti ‘bah, haaiipp, hooo’ juga akan diajar bagi memastikan lembu-lembu  memahami arahan yang diberikan, terutama ketika membawa pelancong.

    Kekal tradisi, ilmu warisan ayah

    Biarpun berdepan pelbagai cabaran, Adam Hazrik serta adik-beradiknya yang lain tetap berbangga kerana mendapat ilmu yang bagi mereka, lebih bernilai daripada harta dan wang ringgit.

    “Kami dapat ilmu yang tak boleh diperoleh dari tempat lain. Daripada ilmu menjinak lembu dan membuat kereta lembu, semuanya diwarisi daripada arwah ayah kami. Jadi ia tak akan sama, saya akan kekalkan ia turun-temurun dan tak akan luput daripada generasi kami, Insya Allah” katanya.

    Biarpun beberapa lokasi tontonan dan membawa pelancong menaiki kereta lembu ditukar malah hampir ‘tenggelam’ apabila ikon sejarah Melaka itu pernah dilarang berada di kawasan tumpuan pelancongan atas faktor kebersihan dan kesihatan haiwan, beliau nekad mempertahankannya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...