MARANG – Muhammad Azizi Abd Aziz memang fobia dengan ular tetapi perasaan takut itu lenyap apabila beliau mengambil kursus mengendali haiwan berbisa ketika berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu.
Malah anak kelahiran Tumpat, Kelantan yang berusia 21 tahun itu kini menjadi tenaga pengajar pengendali haiwan berbisa di Jabatan berkenaan.
Anak bongsu daripada enam beradik ini mula berkhidmat dengan pasukan bomba pada Jun 2016 di Balai Bomba Kuala Terengganu sebagai anggota bomba.
“Sebelum saya menyertai pasukan bomba saya seorang yang sangat takut dan geli dengan ular sehingga rakan-rakan sering menyakat saya. Mereka akan menjerit ular dan saya orang pertama yang akan melarikan diri.
“Apabila saya masuk ke Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, Marang, Terengganu (ABPM), saya ambil kursus mengendalikan haiwan berbisa kerana ingin belajar walaupun ada rasa takut.
“Pada mulanya saya ingat sekadar belajar teori. Saya tak tahu pula ada sesi amali sekali tapi nak tak nak saya teruskan juga sebab sudah ambil kursus itu,” kata beliau dalam sesi temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
Banyak cabaran
Memang banyak cabaran untuk menjadi pengendali haiwan berbisa seperti yang dikongsikan Muhammad Azizi.
Beliau pernah berdepan detik cemas dan hampir kehila-ngan penglihatan apabila terkena semburan bisa ular Tedung Senduk Sembur di bahagian mata kanannya tatkala menyertai satu operasi menangkap reptilia berkenaan.
Bisa ular berkenaan boleh menyebabkan beliau kehilangan penglihatan jika tidak mendapat rawatan awal.
“Mujurlah setiap anggota bomba diajar rawatan awal sekiranya dipatuk, digigit, disembur, atau dibelit ular sebagai langkah keselamatan atau berjaga-jaga seandainya perkara yang tidak diingini berlaku pada diri sendiri. Ilmu itu membantu saya menghadapi detik cemas tersebut,” kata Pegawai Bomba itu lagi.
Dalam tempoh kira-kira dua tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba, beliau menangani lebih 100 kes melibatkan haiwan berbisa di seluruh Terengganu.
Pengalaman belajar kendali ular
Pada peringkat awal Muhammad Azizi belajar selok-belok asas mengenai ular dan cara mengendalikan haiwan itu daripada beberapa jurulatih Bomba yang pakar dengan haiwan berbisa dari seluruh Malaysia.
Beliau turut cuba mencari dan mempelajari pelbagai ilmu mengenai ular dari pengalaman orang awam yang berkemahiran mengenai ular di merata tempat termasuk rujukan di Internet.
Minat yang mendalam juga membuatkan beliau sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mengikuti kursus yang dianjurkan pelbagai pihak bagi membolehkan beliau terus mendalami bidang berkenaan.
Berdasarkan kepakarannya dalam bidang itu juga membuatkan Muhammad Azizi diberi amanat oleh Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor untuk mengadakan kursus mengenai cara menangkap dan mengendalikan haiwan berbisa (ular) di peringkat Negeri Terengganu pada tahun 2018.
Kursus itu dijangka melibatkan anggota bomba yang bertugas di seluruh negeri Terengganu.
“Ini adalah satu tanggungjawab besar yang perlu saya tunaikan kerana saya bukan sahaja melatih anggota yang jauh lebih berpengalaman dari saya yang pernah berdepan dengan pelbagai kes, namun saya juga menanggung pelbagai risiko ketika mengajar atau membuat latihan.
??????”Bagaimanapun, saya menganggap ini juga peluang untuk saya berkongsi ilmu berkaitan ular dengan anggota Bomba yang lain agar mereka lebih berpengetahuan serta menggunakan cara yang betul serta selamat mengikut Piawaian Prosedur Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh jabatan dan dilindungi Akta Perhilitan Negara,” katanya.
Tingkat pengetahuan
Sementara itu, bekas jurulatih dan kini rakan sejawatan Muhammad Azizi, Safiq Mohamad, 25, berkata pada awalnya Muhammad Azizi mengikuti kursus itu secara paksa rela namun berkat kegigihannya, beliau berjaya muncul antara jurulatih yang berjaya dalam bidang itu.
“Kebelakangan ini kita tengok keyakinan diri beliau semakin meningkat. Pengetahuannya juga mengenai haiwan berbiasa saya boleh katakan sudah sampai ke peringkat tinggi.
“Beliau menggunakan dengan begitu baik sekali segala ilmu yang dipelajari sepanjang tempoh sebulan menjalani kursus kaedah mengendalikan haiwan berbisa,” katanya.
Mengenai kursus yang akan dikendalikan Muhammad Azizi, beliau berkata ia melibatkan seluruh anggota Bomba di Malaysia dan undangan dibuat menerusi Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Marang.
Seramai 30 peserta akan dilatih bagi setiap siri kursus yang akan berlangsung selama sebulan di akademi berkenaan yang juga terbesar di Asia Tenggara dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kursus kebombaan.
Kursus yang sama juga pernah dianjurkan kepada ajk pelatih bomba yang mengikuti kursus sijil sains kebombaan pada tahun 2014,” katanya. – Bernama