Monday, October 2, 2023
23 C
Brunei

    -

    Kisah di sebalik sekolah rahsia di Afghanistan

    KABUL – Nafeesa telah menemui satu tempat yang bagus untuk menyembunyikan buku sekolahnya daripada abangnya – iaitu di dapur, tempat yang jarang dikunjungi oleh kaum lelaki Afghanistan.

    Ratusan ribu budak perempuan dan wanita muda seperti Nafeesa tidak diberi peluang pendidikan sejak Taliban kembali berkuasa setahun lalu, tetapi sikap mereka yang dahagakan pembelajaran tidak sekali-kali berkurangan.

    “Budak lelaki tidak mempunyai apa-apa yang dilakukan di dapur, maka saya menyimpan buku saya di sana,” kata Nafeesa, yang menghadiri sebuah sekolah rahsia di kampung yang terletak di luar bandar timur Afghanistan.

    “Jika abang saya tahu mengenainya, dia akan memukul saya.”

    Sejak merampas kuasa setahun lalu, Taliban telah mengenakan sekatan ketat ke atas budak perempuan dan wanita untuk mematuhi wawasan mereka mengenai Islam – sekali gus menyingkirkan mereka daripada kehidupan awam.

    Budak perempuan belajar di sebuah sekolah rahsia di lokasi yang tidak didedahkan di Afghanistan. – AFP
    Budak perempuan mengaji al-Quran di Masjid Noor di luar bandar Kabul, Afghanistan. – AP

    Kaum wanita tidak boleh membuat perjalanan tanpa ditemani saudara lelaki.

    Mereka diberitahu menutup aurat dengan hijab atau burqa – walaupun Taliban memilih mereka meninggalkan rumah hanya jika perlu.

    Dan paling teruk, sekolah menengah untuk budak perempuan di kebanyakan kawasan Afghanistan tidak dibenarkan dibuka semula.

    Namun sekolah rahsia telah muncul dalam bilik rumah biasa di seluruh negara.

    Sekumpulan wartawan AFP yang melawat tiga buah sekolah berkenaan, menemu bual pelajar dan guru dengan nama sebenar mereka telah dirahsiakan demi keselamatan mereka.

    Berikut adalah kisah mereka
    Krisis berdekad lamanya telah mencetuskan pergolakan dalam sistem pendidikan Afghanistan, namun Nafeesa masih mempelajari mata pelajaran sekolah menengah walaupun umurnya telah pun mencecah 20 tahun.

    Hanya ibu dan kakaknya yang tahu mengenainya.

    Abangnya bertempur bersama Taliban menentang bekas kerajaan dan tentera pimpinan Amerika Syarikat (AS) di kawasan pergunungan, pulang selepas kemenangan mereka yang dibelenggu doktrin mengatakan tempat seorang wanita adalah di rumah.

    Dia dibenarkan untuk menghadiri madrasah bagi mengaji Al-Quran pada pagi, tetapi pada waktu petang di menyelinap keluar ke sebuah bilik darjah rahsia yang dianjurkan Persatuan Revolusi Wanita Afghanistan (RAWA).

    “Kami sanggup menerima risiko ini, jika tidak kami masih tidak mempunyai pendidikan,” ujar Nafeesa.

    “Saya bercita-cita menjadi doktor…Kami mahu melakukan sesuatu untuk diri kami, kami mahu kebebasan, berkhidmat kepada masyarakat dan membina masa depan kami.”

    Apabila AFP melawat sekolahnya, Nafeesa dan sembilan budak perempuan lain sedang membincang kebebasan bersuara bersama guru wanita mereka, duduk bersebelahan di atas permaidani dan bergilir-gilir membaca dari sebuah buku teks.

    Untuk menghadiri kelas, mereka sering meninggalkan rumah lebih awal, mengambil jalan berlainan untuk mengelak dilihat di kawasan yang kebanyakannya terdiri daripada anggota kumpulan etnik Pashtun, dan terkenal dengan cara konservatif mereka.

    Jika seorang askar Taliban bertanya, budak perempuan berkata mereka berdaftar dalam bengkel jahitan, dan menyembunyikan buku teks dalam beg membeli-belah atau di bawah baju abaya dan burqa mereka.

    Mereka bukan sahaja mengambil risiko, tetapi juga melakukan pengorbanan – adik Nafeesa tercicir dari sekolah untuk mengelak abangnya daripada mendapat tahu rahsianya.

    Budak perempuan masih pergi ke sekolah rendah, untuk masa ini sekurang-kurangnya, dan wanita muda boleh menghadiri universiti – walaupun kuliah diasingkan dan beberapa subjek dikurangkan disebabkan kekurangan guru wanita.

    Bagaimanapun, tanpa sijil sekolah menengah, remaja masih tidak dapat menduduki peperiksaan kemasukan universiti, maka kumpulan pelajar wanita ini mungkin menjadi kumpulan terakhir sejauh yang nampak pada masa depan.

    “Pendidikan adalah hak sejagat lelaki dan wanita dalam Islam,” beritahu sarjana Abdul Bari Madani kepada AFP.

    “Jika pengharaman ini diteruskan, Afghanistan akan kembali ke era kuno, dan seluruh generasi budak perempuan akan lenyap.”

    Disebabkan kebimbangan generasi yang lenyap telah mendorong guru Tamkin mengubah rumahnya di Kabul menjadi sebuah sekolah.

    Wanita berusia 40 tahun itu hampir hilang keyakinan, setelah dipaksa berhenti belajar semasa tahun pertama Taliban berkuasa, dari 1996 hingga 2001, apabila semua sekolah perempuan diharamkan.

    Tamkin belajar sendiri selama beberapa tahun untuk menjadi seorang guru, dan kehilangan pekerjaannya di kementerian pendidikan apabila Taliban kembali pada tahun lalu.

    “Saya tidak mahu budak perempuan berkenaan berakhir seperti saya,” beritahunya kepada AFP, air matanya mengalir di pipinya.

    “Mereka harus mempunyai masa depan yang lebih baik.”

    Dengan bantuan suaminya, Tamkin pertama mengubah bilik stor menjadi kelas.

    Kemudian dia menjual lembu ternakan untuk mengumpul wang membeli buku teks, memandangkan kebanyakan budak perempuan datang dari keluarga miskin dan tidak mampu membeli buku berkenaan.

    Hari ini, dia mengajar bahasa Inggeris dan sains kepada kira-kira 25 orang pelajar.

    “Saya hanya mahu belajar. Tidak kisah apa tempatnya,” kata Narwan, yang sepatutnya berada dalam gred 12, sambil duduk dalam bilik yang dipenuhi dengan budak perempuan dari semua peringkat umur.

    Di pinggir bandar Kabul, di tengah-tengah rumah lumpur, Laila juga seorang guru yang mengendalikan kelas bawah tanah.

    Melihat pada wajah anak perempuannya selepas pembukaan semula sekolah menengah dibatalkan, dia sedar dia perlu melakukan sesuatu.

    Kira-kira satu dozen budak perempuan berkumpul dua hari seminggu di rumah Laila, yang mempunyai perkarangan dan kebun di mana dia menanam buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Bilik darjah mempunyai tingkap besar menghala ke taman, dan budak perempuan dengan buku teks disimpan dalam folder plastik biru duduk di atas permaidani – ceria dan gembira, belajar bersama.

    Ketika kelas bermula, seorang demi seorang membaca jawapan untuk kerja rumah mereka.

    “Kami tidak takut pada Taliban,” kata pelajar Kawsar, 18. “Jika mereka berkata apa-apa, kami akan menentang tetapi masih meneruskan pembelajaran.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Ikan paus langgar bot, 1 maut, 1 cedera  

    SYDNEY, 1 OKT - Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera selepas seekor ikan paus melanggar sebuah bot di luar pantai timur Australia, kelmarin,...

    Singa baham tuan