Oleh Ali Imran Mohd Noordin
KUALA TERENGGANU – Jam menunjukkan 8:40 malam, suasana Pantai Chagar Hutang di Pulau Redang, Terengganu gelap gelita.
Kelihatan dua ekor Penyu Agar timbul di permukaan Laut China Selatan lalu naik ke pantai itu yang masih lembab berikutan hujan renyai pada waktu senja.
Melihatkan penyu-penyu itu naik di kawasan pantai yang berbatu, hati penulis terdetik, mungkin dibawa arus atau senghaja memilih kawasan berbatu yang dianggap lebih selamat daripada pemangsa.
Penyu yang dinamakan Sabariah dan Kartini itu bukanlah pengunjung asing di pantai berkenaan. Rekod menunjukkan ia pernah mendarat di sini pada masa lalu.
Saban tahun, Pantai Chagar Hutang yang telah diwartakan sebagai pusat pemuliharaan penyu pada 1993 menjadi tempat bagi ratusan penyu betina untuk bertelur dalam keadaan aman dan selamat daripada gangguan manusia.
Ada masanya lebih seribu jumlah sarang direkodkan di situ untuk jangka masa setahun, menjadikan pantai itu paling banyak dikunjungi penyu untuk bertelur di Semenanjung Malaysia.
Kepayahan bertelur
Cerita penyu mendarat di pantai pada waktu malam, merangkak ke kawasan selamat, mencari tempat yang sesuai, menggali lubang, bertelur dan kemudiannya pulang ke laut memang diketahui umum sejak sekian lama.
Apa yang jarang diketahui adalah mengenai kepayahan yang dilalui seekor penyu betina ketika bertelur, menjadikan masyarakat kurang ambil berat dengan sifat semula jadi haiwan itu.
Akibat kurangnya pengetahuan dan kefahaman masyarakat terhadap sifat reptilia yang diangkat ikon negeri Terengganu itu mengakibatkan habitat mereka terganggu akibat tindakan manusia.
Jadi tidak hairanlah, jika tindakan manusia juga menjadi penyebab Penyu Belimbing tidak lagi mendarat untuk bertelur di Pantai Rantau Abang, yang memang terkenal dengan pendaratan spesies itu suatu ketika dahulu.
Tinjau pantai
Walaupun penyu hanya naik ke pantai pada waktu malam, sebenarnya proses memilih tempat dan waktu naik ke pantai bermula jauh lebih awal.
Seawal tiga petang, penyu betina seperti Sabariah dan Kartini mula bermain-main di sekitar teluk berhampiran pantai, mencari makanan sambil meninjau kawasan pantai.
Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli, sambil berbuat demikian, penyu betina akan memerhati jika ada manusia, bot, pemangsa atau sebarang aktiviti di kawasan pantai dan sekitarnya.
Beliau yang merupakan Penyelidik merangkap Ketua Unit Penyelidikan Penyu Laut(Seatru) berkata, sekiranya penyu mengesan sebarang aktiviti, ia akan menangguhkan pendaratan di pantai dan menunggu sehingga keadaan benar-benar tenang dan selamat.
Lazimnya di Pantai Chagar Hutang, penyu mendarat selepas senja, namun ada kalanya pendaratan bermula seawal enam petang dan berterusan hingga lewat malam.
Terdapat sebuah Stesen Penyelidikan Penyu milik UMT untuk menjalankan program-program pemeliharaan, pemuliharaan, kajian serta pelbagai aktiviti akademik berkaitan penyu di situ.
Di stesen inilah renjer penyu, penyelidik akademik dan sukarelawan memantau aktiviti penyu.
Sangat sensitif
Penulis berada di pantai Chagar Hutang pada malam Sabariah dan Kartini mendarat untuk melihat keseluruhan proses penyu bertelur.
Menurut Mohd Uzair, emosi penyu pada waktu hendak bertelur amat sensitif, mudah terganggu dengan kehadiran manusia atau jika terdapat cahaya mahupun bunyi bising.
Penyu sangat sensitif pada ketika itu sehinggakan renjer Seatru dan sukarelawan bertugas terpaksa menggunakan lampu suluh dengan cahaya merah ketika bergerak di dalam gelap memandangkan mata penyu tidak sensitif kepada warna merah.
Jika suasana persekitaran dirasakan mengganggu, penyu akan membatalkan hasrat untuk bertelur dan kembali ke laut.
Setelah keluar dari air, Sabariah dan Kartini merangkak ke hujung kawasan pantai sepanjang 350 meter itu lalu mencari lokasi untuk bertelur.
“Tiada cara khusus bagi penyu menentukan lokasi sarangnya. Ada yang memilih di kawasan pantai yang terbuka, di bawah pokok atau berhampiran kawasan semak.
“Si ibu akan memilih lokasi yang dianggapnya paling selamat untuk membuat sarang. Lain ibu, lainlah pertimbangannya. Pencarian lokasi sarang biasanya memakan masa 15 hingga 20 minit,” jelas Mohd Uzair.
Pemerhatian penulis mendapati Sabariah dan Kartini bahawa walaupun kedua-duanya dianggarkan berumur 35 tahun, naik ke pantai pada waktu yang sama, namun masing-masing memilih kawasan berbeza untuk membuat sarang.
Sabariah memilih kawasan tersorok di bawah teduhan pokok yang mempunyai permukaan tanah lebih keras manakala Kartini memilih kawasan pantai terbuka di mana permukaan tanahnya lebih lembut dan berpasir.
Proses berkubang
“Setelah berjumpa lokasi sesuai untuk membuat sarang, langkah pertama si penyu adalah menggunakan keempat-empat kaki menggali lubang untuk berkubang.
“Lubang digali cukup luas bagi memuatkan keseluruhan badan penyu sehingga tenggelam separas permukaan pasir. Kedalaman kubang yang digali boleh mencecah satu kaki,” ulas Mohd Uzair.
Sebaik selesai proses itu barulah sang penyu memulakan proses pemakaman telur dengan menggunakan dua kaki belakangnya untuk membuat lubang khusus untuk mengisi telur.
Kedua-dua kaki belakang dilekukkan sehingga membentuk seperti pencedok untuk membuat lubang yang sesuai kedalamannya bagi memuatkan telur-telur penyu itu.
Lubang yang digali dengan begitu sempurna sehinggakan jika dipandang sekali lalu, kelihatan bagaikan digali menggunakan penggali tanah yang biasa digunakan golongan petani.
Keseluruhan proses itu memakan masa kira-kira 50 minit hingga kira-kira setengah jam untuk proses berkubang dan 20 minit lagi untuk proses pemakaman telur.
Mandi pasir
Setiap kali bertelur, penyu betina mampu mengeluarkan kira-kira 50 ke 70 biji telur. Setiap kali telur diteran, dua atau tiga biji telur akan keluar serentak. Keseluruhan proses bertelur memakan masa kira-kira 10 minit.
“Telur tidak boleh ditanam kurang daripada 20 sentimeter daripada permukaan tanah kerana proses eraman dipengaruhi perubahan di permukaan tanah. Pada kedalaman lebih 20 sentimeter barulah telur-telur dapat dieram pada suhu yang stabil,” kata Mohd Uzair.
Lubang telur kemudiannya dikambus menggunakan dua kaki belakang penyu. Setelah selesai, penyu akan mengambil masa kira-kira lima minit untuk berehat selepas melalui proses bertelur yang banyak menggunakan tenaga.
Ruang waktu yang singkat itulah digunakan sebaiknya oleh Mohd Uzair dan pasukan penyelidiknya untuk memeriksa keadaan dan kesihatan penyu. Ukuran cengkerang diambil dan dua kaki hadapan penyu diperiksa untuk melihat sekiranya telah diletakkan tag pengenalan diri.
Setiap kehadiran penyu, sama ada yang berulang mahupun baharu, direkodkan. Penyu yang pertama kali hadir ke situ dipakaikan tag dengan nombor identiti khas untuk pemantauan di masa hadapan.
Selain itu, keadaan fizikal penyu turut diperiksa untuk melihat jika ada sebarang kecederaan ataupun terdapat teritip pada cengkerang.
Sekiranya ada, teritip akan dibersihkan menggunakan playar khas dan sekiranya terdapat sebarang kecederaan, penyu akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dirawat.
Sembunyikan sarang
Sepertimana haiwan lain, penyu mempunyai cara tersendiri untuk menyembunyikan sarang daripada pemangsa.
Penulis berpeluang melihat cara Kartini menggunakan keempat-empat kakinya untuk bermain dengan pasir dengan cara menguis pasir sekuatnya ke pelbagai arah. Malah, memandangkan kedudukan agak dekat dengan Kartini, penulis turut ‘dimandikan’ dengan pasir.
Sambil kaki menguis pasir, penyu bergerak perlahan-lahan menuju ke laut. Jika tidak diperhatikan dengan teliti, tiada siapa yang akan sedar bahawa penyu itu sedang bergerak meninggalkan sarang.
Sebaik selesai kesemua proses bertelur, lokasi sarang tidak lagi dapat dikesan dengan mata kasar kerana dikambus pasir tebal hasil daripada proses penyamaran yang di lakukan si penyu.
Proses itu memakan masa hampir sejam atau mengikut kata Mohd Mohd Uzair, ‘sehingga penyu puas bermain pasir.’
Hanya selepas puas bermain pasir barulah penyu akan pulang ke laut menandakan tamatnya proses bertelur yang memakan masa dua jam. Kemungkinan penyu itu terus berenang ke laut lepas atau menyediakan diri untuk proses bertelur yang seterusnya dalam tempoh terdekat.
Seekor penyu berupaya membina hingga enam sarang pada satu-satu musim. Penyu betina mengawan dengan beberapa penyu jantan dan menyimpan sperma di dalam badan sebelum membentuk menjadi telur.
“Sebab itulah kalau kita lakukan penilaian DNA ke atas beberapa biji telur daripada sarang yang sama, oleh ibu yang sama, ada kemungkinan kita mendapati telur-telur itu daripada DNA penyu jantan yang berbeza,” jelas Mohd Uzair. – Bernama