Tuesday, December 3, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kisah inspirasi peminat tegar komik

    JOHOR BAHRU – Tertarik dengan lukisan watak adiwira oleh rakan sekelasnya ketika di sekolah rendah, Vincent Chua mula menyelami dunia komik. Kini, pada usia 66 tahun, lelaki Singapura itu telah mengumpul kira-kira 15,000 buah buku komik.

    “Semasa saya di sekolah rendah, saya pernah melihat seorang rakan melukis seorang lelaki yang boleh mengeluarkan pancaran laser dari matanya, dan sebagai kanak-kanak, saya amatterpesona.

    “Ketika itu, saya tidak tahu apa-apa tentang komik, tetapi saya tertarik dengan lukisan rakan saya. Beberapa tahun kemudian, pada 1970an, seorang rakan menjemput saya ke rumahnya dan menunjukkan kotak-kotak buku komik yang ingin dijualnya.

    “Saya membelek beberapa buah dan menggunakan duit angpau Tahun Baharu Cina untuk membeli beberapa naskhah. Itulah titik permulaan koleksi saya,” katanya ketika ditemui pada acara pengumpul komik di Perpustakaan Sultan Ismail, baru-baru ini.

    Chua berkata koleksinya pernah memenuhi ruang besar di rumahnya, menyebabkan dia terpaksa menjual sebahagian komik tersebut.

    Chua mempamerkan beberapa komik berharga miliknya semasa acara Hobi Kita 2024 yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru. – ANN/The Star

    Pada 2010, dia membuka kedai dalam talian di Facebook, yang juga memberinya peluang berkawan dengan ramai pengumpul komik di seluruh dunia.

    “Terdapat permintaan tinggi untuk komik bukan sahaja di Singapura tetapi juga semakin meningkat di sini di Malaysia.

    “Sejak saya mula menjual dalam talian, saya bertemu ramai pengumpul komik di Malaysia dan hubungan kami semakin erat,” katanya, sambil menambah kebanyakan pengumpul komik berasal dari Johor, Kuala Lumpur dan Kedah.

    Menurut Chua, harga komik lama berbeza bergantung pada jumlah salinan yang diterbitkan, keadaan buku, serta penulis dan penciptanya.

    Kebanyakan bukunya diterbitkan oleh DC dan Marvel, namun komik terbitan bebas juga mendapat sambutan.

    “Senaskhah komik boleh berharga serendah RM50 hingga ratusan ringgit, atau lebih jika ia merupakan edisi terhad. Jika buku tersebut dalam keadaan baik, atau ditandatangani oleh pencipta, atau jika penciptanya telah meninggal dunia, harganya pasti melonjak.

    “Jika ada filem berdasarkan watak komik tertentu, permintaan terhadap komik berkaitan juga akan meningkat,” katanya.

    Chua berkata, dengan nilai komik lama yang kian meningkat, industri itu, khususnya bagi pengumpul komik – kini menjadi perniagaan yang serius.

    “Sesetengah pengumpul komik hanya mencari komik popular disebabkan nilai jualan semula, tetapi saya tidak melihat buku saya sebagai barang yang menguntungkan.

    “Saya hanya mahu menjualnya kepada orang yang akan menjaganya dengan baik,” katanya.

    Chua juga memberi kemudahan kepada pembeli di Malaysia untuk membuat bayaran ansuran kerana kadar pertukaran ringgit yang tinggi berbanding dolar Singapura.

    “Apa yang penting adalah membina persahabatan dan mengekalkan hubungan baik dengan mereka yang mempunyai minat yang sama,” tambahnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda