Kisah silam corak penceritaan drama melayu

Oleh Adiiwira

Dalam menjalani kehidupan, terdapat dua fasa yang akan kita lalui iaitu masa depan yang setentunya kita belum mengetahui apa akan terjadi pada diri kita dan masa lampau yang sudah kita jalani sama ada yang menggembirakan atau menyedihkan.

Namun, kadang-kadang masa lampau kita boleh mencorakkan masa depan yang baru saja kita jalani. Hal ini kerana, peristiwa yang kita lakukan pada masa lalu memberikan impak pada masa akan datang sama ada sesuatu yang membawa konotasi positif mahupun negatif.

Sebagaimana yang kita ketahui, wujudnya penulisan cerita, drama, filem dan sebagainya merupakan hasil daripada kehidupan seharian yang kita jalani namun berubah dari segi perwatakan dan jalan penceritaannya yang dianggap rekaan semata-mata. Di dalam penghasilan drama, telefilem dan filem Melayu, sesetengahnya akan menggunakan peristiwa masa lalu sebagai sebab untuk menghidupkan watak atau menggerakkan jalan penceritaannya yang menunjang menjadi sebuah konflik.

Dalam ruangan minggu ini, penulis akan menyentuh sebuah telefilem dan sebuah drama yang bagi penulis ada menggunakan unsur peristiwa lalu sebagai penguat jalan penceritaannya. Dua buah cerita tersebut ialah Waiduri di Sebalik Pintu yang disiarkan di siaran RTM TV2 pada 2 Mei lalu dan drama Ummar Hatta yang disiarkan di siaran Salam HD Unifi TV.

Waiduri di Sebalik Pintu merupakan telefilem khas sempena hari pekerja di Malaysia yang menggandingkan Nur Risteena dan Redza Rosli sebagai pelakon utamanya. Telefilem ini diarahkan oleh Din Glamour yang diterbitkan oleh Wibarisma Sdn Bhd dan skripnya ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim.

Antara adegan dalam telefilem Waiduri di Sebalik Pintu. – Agensi
Waiduri di Sebalik Pintu merupakan telefilem khas sempena Hari Pekerja di Malaysia yang menggandingkan Nur Risteena dan Redza Rosli sebagai pelakon utamanya. – Agensi
Umar Hatta merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada novel karya Jaja Ahmad yang memilki 13 buah episod diarahkan oleh Rusdi Ramli dan diterbitkan oleh A. Aida Production Sdn Bhd. – Agensi
Antara barisan pelakon yang menjayakan drama Umar Hatta. – Agensi

Dalam telefilem ini menceritakan tentang Umar (Redza Rosli) yang berkerja di kedai permaidani telah jatuh cinta dengan Waiduri (Nur Risteena), anak kepada pelanggannya. Namun ada sesuatu sebab yang menghalang cinta mereka. Berjayakah mereka mempertahankan cinta mereka?

Kisahnya bermula dengan memperkenalkan watak Umar yang bekerja di kedai permai-dani milik En. Syed manakala ibunya, Mak Cik Bibah membuka kedai barangan perkahwinan. Ayu, seorang kenalan Umar yang bekerja di kedai berhampiran, sering keluar makan bersama Umar dan menaruh perasaan pada beliau.

Datin Suria menempah permaidani di kedai En. Syed dan Umar terlihat anak Datin iaitu Waiduri yang membuatkannya terpaku dengan kecantikan beliau. Umar gembira apabila sudah beberapa kali bertemu dengan Waiduri atas urusan tempahan permaidani ibunya.

Dato Sulaiman, suami kepada Datin Suria terkejut apabila terserempak dengan Mak Cik Bibah yang merupakan kekasihnya yang terpisah sekian lama. Datin Suria bersemuka dengan Mak Cik Bibah dan kemudiannya membatalkan tempahan permaidani dengan En. Syed.

Daripada peristiwa yang diterangkan, penulis melihat adanya penggunaan peristiwa lalu untuk menunjang sesebuah konflik dalam penceritaannya. Hal ini dapat dilihat daripada watak-watak yang ditonjolkan iaitu melalui watak Dato Sulaiman dan Mak Cik Bibah. Di mana, dari kedua-dua watak ini digambarkan sebagai bekas kekasih yang terpisah sekian lama.

Di sebabkan hal itu, Datin sanggup membatalkan tempahan permaidaninya dengan En. Syed. Dalam masa yang sama, bukan hanya membatalkan tempahannya malah bagi penulis konflik yang menunjang adalah harapan Umar yang meminati Waiduri turut terhalang akibat daripada pe-ristiwa silam ibu bapa mereka.

Hal ini diibaratkan seperti pepatah ‘lain yang makan nangka, lain kena getahnya’, di mana masalah yang terjadi disebabkan peristiwa silam orang tua, anak tidak tahu apa-apa menjadi mangsa. Menurut penulis, telefilem ini agak berbeza sedikit dalam menonjolkan punca peristiwa lalu tersebut, ini kerana pada kebiasaannya peristiwa silam ini dialami sendiri oleh watak utama tersebut. Namun, di dalam telefilem ini, watak sampingan dan lebih-lebih lagi ditonjolkan melalui watak orang tua kedua-dua watak utama yang menjadi penghalang percintaan watak utama. Telefilem ini turut dibintangi oelh Arash Mohd, Laila Nasir, Kuza dan ramai lagi.

Dalam drama Umar Hatta yang merupakan sebuah drama yang diadaptasi daripada novel karya Jaja Ahmad yang diarahkan oleh Rusdi Ramli dan diterbitkan oleh A. Aida Production Sdn Bhd. Drama ini memilki 13 buah episod yang menampilkan Mustaqim Bahadon sebagai Umar Hatta dan Dayang Areeda sebagai Leyla Adra.

Drama ini mengisahkan tentang kisah hubungan Hatta dan Leyla sebagai bos dan pekerja. Leyla jatuh cinta pada maji-kannya rupanya perasaannya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Hatta juga mempunyai rasa yang sama. Tetapi kisah silam Hatta yang hitam membuatkan dia takut untuk kehi-langan Leyla.

Dahlia pula menyelit kerana jatuh cinta pada abangnya Hatta walaupun mereka bukan adik beradik kandung membuatkan Leyla selalu dipandang sinis oleh Dahlia. Kemunculan Zafran pula menambahkan lagi ketakutan Hatta tentang masa lalunya akan terbongkar. Zafran asyik mengganggu Hatta dan saat yang tak disangka akhirnya Leyla sendiri telah tahu rahsia yang telah disimpan oleh Hatta. Rahsia apa yang Hatta sembunyikan?

Berbeza dengan telefilem Waiduri di Sebalik Pintu,drama ini dapat dilihat lebih memperlihatkan kisah silam melalui watak utamanya. Di mana watak Umar Hatta dihantui oleh kisah silam hitam yang dirahsiakan daripada diketahui oleh Leyla. Menurut penulis, melalui kisah silam Umar inilah sebagai penunjang konflik pada penceritaan drama ini. Sehinggakan watak utama takut kehilangan Leyla jika rahsianya terbongkar. Dalam hal ini, seolah-olah kisah silam yang dialami oleh Umar ini sesuatu yang amat menghampakan dirinya dan sesiapa saja mengenali dirinya yang akhirnya diketahui sendiri oleh Leyla.

Sebagai kesimpulan, melalui kedua-dua telefilem dan drama ini sememangnya menggunakan kisah silam sebagai sebab dan penunjang konflik dalam penceritaannya. Meskipun telefilem yang awal tadi menggunakan watak sampingan sebagai punca penghalang kepada watak utama, kedua-duanya masih memenuhi kriteria menggunakan unsur penceritaan dalam jalan cerita.

Apa yang penting moral dan pengajaran yang diselitkan dalam drama ini, sebagaimana dalam telefilem berkenaan agar jangan membabitkan orang lain jika masalah itu berpunca daripada kita sendiri, manakala melalui watak Umar Hatta kita dapat mempelajari agar tidak lari dengan masalah yang kita lakukan dan berani menerima risiko yang apa yang terjadi pada masa akan datang.