Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Kisah wanita botani Kathmandu

    KATHMANDU – Pemandangan bunga-bunga berkembang mekar dan daun-daun hijau pada tumbuh-tumbuhan sentiasa membawa senyuman kepada wajah Rekha KC.

    Seorang yang amat suka menanam tumbuh-tumbuhan, KC mempunyai pelbagai koleksi tanaman, orkid, lidah buaya, syngonium dan kaktus di beranda rumahnya yang terletak di Dhobighat, Lalitpur. Sesetengah tanamannya tergantung dalam pasu, sementara yang lainnya ditanam dalam botol bercat warna-warni yang disimpan di atas tanah.

    “Hanya dengan melihat bunga-bunga bercambah daripada sehelai daun kecil kepada tumbuhan besar memberikan satu kepuasan kepada saya. Tanaman tersebut bukan sekadar tumbuh-tumbuhan. Mereka adalah buah hati saya dan pemilikan amat berharga dalam hidup saya,” kata KC, 54, seorang suri rumah tangga yang amat gemar menanam bunga dan mempunyai pelbagai tanaman di seluruh kawasan rumahnya.

    KC adalah salah seorang daripada kebanyakan wanita di Kathmandu yang tergolong dalam sejumlah besar wanita botani, istilah yang diberikan kepada kaum wanita yang memandang serius hobi menanam tanaman dalam rumah.

    Sejak beberapa tahun ini, tatkala lebih banyak bangunan muncul di Kathmandu, ruang hijau terbuka telah menjadi semakin kurang, dan kebanyakan orang yang suka tumbuh-tumbuhan hijau dan penggemar telah mengambil jalan keluar dengan mencipta kebun dalam rumah mereka sendiri.

    Dalam rumah dua tingkat Rekha KC terdapat lebih 300 jenis tanaman. – ANN/Kathmandu Post
    Bina Shrestha telah membina sebuah rumah hijau untuk tanamannya. – ANN/Kathmandu Post
    Bina Shrestha mempunyai lebih 250 tanaman di rumahnya di Bhaisepati. – ANN/Kathmandu Post

    Walaupun tidak adanya data kukuh mengenai jumlah penanam atau pekebun di bandar berkenaan, penggemar yang bercerita kepada The Post berkata komuniti di Kathmandu kebanyakannya dipimpin oleh kaum wanita dengan jumlah mereka makin meningkat setiap hari.

    Menurut ahli botani Chandrakala Thakur, budaya menanam tumbuh-tumbuhan dalam rumah telah pun wujud di Nepal. Namun budaya itu, akui Thakur, telah menjadi makin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    “Daripada membersihkan udara sehingga berfungsi melegakan stres, tumbuh-tumbuhan dalam rumah mempunyai banyak faedah, dan kini semakin ramai orang menyedari mengenai manfaat berkenaan sekali gus menceburkan diri atau menjadikan penanaman tumbuh-tumbuhan dalam rumah sebagai hobi mereka,” menurut Thakur, yang juga bekerja sebagai pegawai saintifik di Pusat Penyelidikan Tumbuh-Tumbuhan.

    KC bersetuju dengan Thakur. Pada tahun 2011, apabila KC mula-mula mengumpul tumbuh-tumbuhan, Kathmandu bukan bandar pencakar langit seperti hari ini, dan dia hanya mengenali beberapa wanita yang menanam pokok bunga di rumah mereka.

    “Pada masa itu, salah satu tanaman dalam rumah yang paling popular adalah sirih gading.

    Orang percaya memiliki tanaman tersebut di rumah mereka akan membawa tuah. Hanya segelintir orang yang mempunyai tanaman lain selain sirih gading,” kata KC.

    Namun sekarang, keadaan telah banyak berubah, dan tanaman dalam rumah bukan hanya terhad kepada satu spesies.

    Di dalam rumah dua tingkat milik KC, terdapat lebih daripada 300 jenis tumbuh-tumbuhan, dan ia boleh dilihat di merata tempat, di meja makan, di kabinet serta dalam bilik mandu.

    “Ibu saya adalah wanita botani sejati. Ada kalanya, saya fikir dia sayangkan tumbuh-tumbuhannya lebih daripada dia menyayangi kami,” kata Reeti KC sambil tersenyum.

    Pemandangan yang sama juga boleh dilihat di rumah Bina Shrestha. Shrestha mempunyai lebih 250 jenis tanaman di kediamannya di Bhaisepati, dan sesetengah tanamannya diimport dari Indonesia, India dan juga beberapa negara Eropah.

    Selain berkebun dan menjaga tanamannya, dia juga telah membina rumah hijau kecil untuk tumbuh-tumbuhannya.

    “Pembinaan rumah hijau ini membolehkan saya mengawal suhu dan kelembapan supaya tumbuh-tumbuhan saya boleh membesar tanpa menghadapi sebarang kesukaran,” ujar Shrestha, yang merupakan salah seorang pengumpul tumbuh-tumbuhan paling popular dalam komuniti pekebun tanaman dalam rumah di Kathmandu.

    Hanya pada tahun 2017 Shrestha, 44, juga seorang usahawan, mula menjaga tumbuh-tumbuhannya.

    “Saya memulakan perjalanan ini sama seperti yang dilakukan kebanyakan orang lain.

    Apabila saya membeli tanaman dalam rumah pertama saya, tidak terlintas dalam fikiran saya bahawa saya akan menjadikannya satu hobi yang serius. Lima tahun kemudian, saya mempunyai 250 jenis tanaman dalam rumah,” kata Shrestha.

    Menurut Shrestha, apa yang membuatnya tertarik kepada tanaman dalam rumah, adalah manfaat terapeutik dalam menjaga tumbuh-tumbuhan berkenaan.

    “Pada 2017, saya mengharungi salah satu fasa paling teruk dalam hidup saya. Saya sentiasa rasa runsing dan gelisah. Saya menghabiskan seharian dalam rumah tanpa melakukan apa-apa,” kongsi Shrestha.

    “Pada satu hari apabila saya mengunjungi sebuah tapak semaian, saya membeli ‘pelia moss’, sejenis tumbuhan dalam rumah dan mula menjaganya, dan saya benar-benar berasa seronok menjaga dan mendapati keseluruhan proses amat menenangkan. Sejak itu, saya telah membeli ratusan tanaman.”

    Seorang lagi pengumpul tumbuh-tumbuhan, Sweta Adhikari, 23 tahun, tidak mempunyai idea bahawa menanam tumbuh-tumbuhan memberikan manfaat terapeutik.

    “Pada masa itu, saya seorang pemarah. Namun menjaga tanaman setiap hari telah menjadikan saya seorang yang lebih tenang,” kata Adhikari, yang memegang ijazah kejuruteraan awam dan merakamkan perjalanannya dalam penanaman tumbuh-tumbuhan di akaun Instagram, Plant Aunty.

    Dalam bilik tidurnya yang kecil di Kalanki, Adhikari mempunyai koleksi lebih daripada 50 jenis tanaman, termasuk lili, lidah buaya dan sirih gading.

    “Selepas kerja seharian, saya berasa teruja melihat tanaman saya. Ia membuatkan saya lebih tenang dan merupakan sumber kegembiraan saya,” kata Adhikari.

    Dengan lebih ramai orang memupuk minat dalam tumbuh-tumbuhan, terdapat juga penggemar tumbuhan yang semakin ketagih untuk mengumpul tanaman untuk dijadikan koleksi sehingga ada di antara mereka sanggup mengumpul tumbuh-tumbuhan yang eksotik dan mahal.

    “Timbulnya persaingan yang tidak sihat dalam komuniti pekebun di Kathmandu,” kata Shrestha.

    Sesetengah orang seperti Shrestha, yang mendokumenkan hobinya di laman Instagram, Urban Jungle Home, telah menukar hobi mereka kepada perniagaan.

    “Saya mula menjual beberapa tanaman yang lebih. Memandangkan harga tanaman telah naik mendadak, saya fikir pendapatan yang saya jana daripada menjual tanaman tambahan membolehkan saya meneruskan hobi saya,” kongsi Shrestha.

    Namun ketika lebih ramai orang mula membeli tanaman darinya, Shrestha berkata dia menjadi amat taksub dengan keuntungan sehingga hobinya mula membuatnya tertekan.

    “Saya asyik membeli semakin banyak tanaman dan sesetengahnya mati. Saya mempunyai obsesi untuk menjual lebih banyak dan ia sentiasa dalam fikiran saya,” ujarnya.

    Dua tahun kemudian, selepas merenung kembali, Shrestha berkata dia telah menemui keseimbangan. Walaupun dia menjual hampir 50 hingga 75 tumbuhan setiap bulan menerusi laman Instagramnya, rasa gembira menjaga tanaman menjadi lebih bermakna daripada segala-galanya.

    “Menjual tanaman bukan matlamat utama saya lagi. Saya lebih berminat dalam menjaga tanaman saya. Ia merupakan hobi saya dan membantu saya bersikap lebih positif,” kata Shrestha.

    Sementara menjaga tanaman merupakan satu pengalaman memuaskan, pengumpul dan penggemar tanaman yang bercakap kepada The Post berkata menjadi wanita botani memerlukan usaha keras dan dedikasi. Setiap hari, Adhikari meluangkan kira-kira 45 minit menjaga tanamannya. Setiap hari jam 10 pagi, KC akan mula memeriksa dan menjaga tanamannya. Proses itu, menurutnya, mengambil masa empat jam sehari.

    “Saya mendedikasikan enam hingga tujuh jam sehari untuk menjaga tanaman saya,” kata Shrestha. – ANN/Kathmandu

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...