Kishida janji memerintah dengan ‘amanah, empati’

TOKYO, 8 OKT – Dalam ucapan dasar pertamanya hari ini, Perdana Menteri baharu Jepun, Fumio Kishida berjanji untuk mengukuhkan pengurusan pandemik dan penjagaan kesihatan sekiranya berlakunya peningkatan koronavirus sekali lagi, dan memulihkan semula ekonomi sementara meningkatkan pertahanan negara terhadap ancaman China dan Korea Utara.

Berdepan dengan tugasan sukar meraih sokongan awam menjelang pilihan raya kebangsaan yang dijangka pada hujung bulan ini, Kishida berjanji untuk terus memerintah dengan ‘amanah dan empati’.

Beliau dipilih oleh parlimen dan mengangkat sumpah pada Isnin ketika perdana menteri Jepun ke-100, menggantikan Yoshihide Suga, yang melepaskan jawatan selepas setahun dilantik. Suga dilihat menerapkan pentadbiran tidak menghiraukan langkah pembendungan virus dan menganjurkan Sukan Olimpik meskipun kes jangkitan meningkat sehingga mencetuskan kemarahan awam dan parti memerintah Demokratik Liberal.

“Saya akan berusaha dengan sebaik mungkin untuk menangani krisis negara ini bersama dengan rakyat untuk menerajui era baharu agar kita boleh mewariskannya kepada generasi Jepun seterusnya,” kata Kishida.

Beliau berjanji untuk lebih mendengar keluhan dan keperluan awam serta mempersiapkan langkah virus sekiranya ‘berlaku kejadian yang tidak diingini’. Ini termasuk mengambil kesempatan dengan jumlah jangkitan yang menurun untuk memperbaiki pengurusan krisis menjelang musim sejuk, meluluskan pil rawatan COVID-19 pada penghujung Disember dan mendigitalkan sijil vaksin bagi kegunaan di rumah ketika Jepun cuba melonggarkan aktiviti sosial dan ekonomi, menurut Kishida. – AP