Kishida PM baharu Jepun, perkenal kabinet

TOKYO, 4 OKT – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida hari ini memperkenalkan kerajaannya, menggabungkan muka lama dan baharu, selepas ahli parlimen memilihnya sebagai pemimpin baharu negara ekonomi ketiga dunia itu.

Kishida daripada keturunan pemimpin politik Hiroshima, seorang yang lembut ketika berbicara, menewaskan ketua vaksin terkenal, Taro Kono dalam pilihan raya yang menyaksikan kemenangan kepada Parti Liberal Demokrat minggu lalu.

Beliau dengan mudah menang undi di Dewan Rakyat yang mana gabungan parti pemerintah LDP memperoleh majoriti tertinggi, dengan mendapat 311 undi berbanding 124 undi diperoleh pemimpin pembangkang, Yukio Edano.

Kishida tunduk hormat kepada Dewan Rakyat selepas pengumuman itu, namun tidak membuat sebarang ucapan.

Sebelum undian itu, Kishida memberitahu wartawan bahawa beliau sudah bersedia untuk menjawat jawatan tertinggi.

Pemimpin LDP, Fumio Kishida (dua kanan) menerima tepukan selepas dipilih sebagai perdana menteri baharu Jepun di dewan rakyat Tokyo, 4 Oktober. – AFP

“Saya fikir ia akan menjadi permulaan baharu dalam erti kata sebenarnya. Saya bersedia menyahut cabaran dengan kemahuan dan tekad yang kuat bagi menghadapi masa depan,” katanya.

Kishida dianggap sebagai ahli politik berpotensi dan mendapat sokongan yang baik dari partinya sendiri, LDP dan dijangka meneruskan agenda pemerintah sedia ada.

Awal bulan lalu, bekas perdana menteri Yoshihide Suga, melepaskan jawatannya selepas tidak mencalonkan diri pada pemilihan kepemimpinan LDP hanya setahun memegang jawatan itu.

Kishida mengumumkan kabinet baharunya dengan mengekalkan beberapa menteri dalam portfolio utama.

Menteri Luar Negara, Toshimitsu Motegi dan Menteri Pertahanan, Nobuo Kishi dikekalkan pada jawatan masing-masing.

Motegi adalah veteran politik berpendidikan Harvard terbabit memimpin dalam rundingan perjanjian perdagangan utama, manakala Kishi adalah saudara bekas perdana menteri, Shinzo Abe. Portofolio kewangan diberikan kepada Shunichi Suzuki, yang menggantikan kakak iparnya Taro Aso. Suzuki, 68, juga seorang ahli politik veteran dan anak bekas perdana menteri, pernah berkhidmat dalam pemerintahan sebelumnya, memegang jawatan Menteri Olimpik dan Menteri Alam Sekitar.

Kabinet baharu itu membabitkan tiga menteri wanita, termasuk pesaing Kishida, Seiko Noda, yang akan menjadi menteri yang bertanggungjawab menangani masalah kemerosotan kelahiran di Jepun.

Jawatan menteri vaksin dan menteri digital juga dipegang calon wanita, dengan beberapa anggota muka baharu yang pertama kali dilantik sebagai menteri. – AFP