Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Kit ART akan dijual secara dalam talian

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi akan memulakan penjualan kit ujian pantas antigen (ART) secara dalam talian melalui salah sebuah syarikat yang berkaitan dengan kerajaan dan klinik-klinik swasta.

    Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Setiap kit ART akan dijual pada harga $3 setiap set dan bayaran kos penghantaran juga akan dikenakan. Pembekalan dan penghantaran akan dilaksanakan dalam masa tiga hari daripada tarikh pembelian dibuat. Tarikh permulaan penjualan akan diumumkan sebaik saja persiapan logistik selesai dilaksanakan,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua turut menjelaskan bahawa perkara tersebut adalah untuk memastikan bekalan kit ART berterusan dengan harga yang berpatutan.

    Yang Berhormat Dato menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak mengambil kesempatan membeli secara berlebihan.

    “Belilah jumlah yang diperlukan untuk kegunaan persendirian atau dalam satu keluarga sahaja. Kerjasama dan kesabaran orang ramai adalah juga dipohonkan semasa menunggu penghantaran dibuat,” tekannya.

    Beliau turut menjelaskan bahawa apabila penjualan kit ART dibukakan nanti, keluarga-keluarga yang berpendapatan rendah yang mendapat bantuan kebajikan bulanan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Sistem Kebajikan Negara (SKN) boleh membuat permohonan untuk mendapatkan kit ART melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan MUIB.

    “Setiap seorang di dalam sesebuah keluarga akan diberikan 10 kit ART setiap seorang secara percuma untuk kegunaan bagi tempoh tiga bulan. Pengagihan kit ART ini akan dilakukan melalui ketua-ketua kampung, JAPEM dan ejen-ejen yang dilantik oleh kerajaan,” jelasnya lagi.

    Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan bahawa pihak kerajaan juga sedang membuat persiapan untuk membolehkan kit ART dijual melalui mesin layan diri atau vending machine dalam masa yang terdekat.

    “Mesin-mesin ini akan diletakkan di tempat-tempat yang strategik dan diusahakan oleh syarikat swasta yang dilantik. Kit ART yang dijual di mesin-mesin tersebut akan dijual dengan harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” jelas beliau.

    Sementara itu, orang ramai masih boleh membeli kit ART yang ada di pasaran. Para peniaga adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil kesempatan dan menaikkan harga jualan sewenang-wenangnya.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) akan sentiasa membuat pemantauan ke atas harga pasaran bagi kit ART dari masa ke masa.

    Bagi memastikan kualiti kit ART adalah menepati piawaian yang ditetapkan, pengimportan dan perbekalan kit ART hendaklah selaras dengan senarai yang telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

    Senarai kit ART yang dibenarkan untuk dijual di Negara Brunei Darussalam boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...