Monday, December 5, 2022
22.3 C
Brunei

-

Kit ART bantu lega kebimbangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Dengan negara sedang dilanda oleh gelombang kedua penularan wabak COVID-19, orang ramai khususnya mereka yang bertugas seperti runner, sering risau akan kemungkinan mereka terdedah serta berisiko dijangkiti oleh virus.

Oleh itu, dengan adanya kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 membantu untuk melegakan kerisauan di mana mereka boleh menjalani ujian saringan menggunakan kit ART dan mengesan status COVID-19 dengan cepat serta mudah.

Bagi Aaron Lim yang bertugas sebagai seorang runner, beliau akan membuat penghantaran pelbagai jenis barangan bagi pelanggan setiap hari dan kit ART berkenaan memberinya peluang untuk melakukan saringan serta melegakan kerisauannya mengenai jangkitan COVID-19.

“Saya akan bertugas hampir setiap hari untuk menghantar barangan pesanan oleh pelanggan-pelanggan di seluruh negara iaitu dari Daerah Brunei dan Muara sehingga Daerah Belait.

“Oleh itu, perasaan risau, sememangnya tetap ada kerana kita melihat terdapat penularan di kalangan masyarakat serta terdapat juga mereka yang dijangkiti tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala,” ujarnya.

Dengan adanya kit ART COVID-19 dapat memberi kelegaan kepada mereka yang bertugas dan terpaksa bergerak ke pelbagai lokasi seperti runner. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurutnya lagi, beliau mengamalkan penghantaran dan pengambilan barangan tanpa kontak langsung di mana bayaran penghantaran dimasukkan terus ke dalam bank dan barangan akan diletakkan di luar pintu rumah.

Bagi memberikannya kelegaan fikiran, Aaron berkata beliau akan melakukan ujian ART COVID-19 sekurang-kurangnya dua kali seminggu dengan menggunakan kit yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

Ujian itu, menurutnya, adalah mudah dan cepat di mana keputusan boleh diketahui dalam masa kira-kira 30 minit. Menerusi ujian itu, tambahnya, ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada beliau sendiri mengenai statusnya tetapi juga kepada ahli keluarganya.

Beliau mengakui bahawa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan bagi membeli kit-kit ujian berkenaan tetapi baginya, demi kelegaan fikiran dan juga keselamatan keluarga, beliau tidak keberatan untuk berbelanja.

Kementerian Kesihatan telah meluluskan sebanyak 13 jenis kit ujian ART untuk digunakan dengan kebenaran diberikan hasil penilaian yang ditentukan dengan mengikut prestasi klinikal dan analisis kit ujian termasuk sensitiviti dan spesifikasi oleh pihak pengeluar, piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan alat ujian.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

ASEAN: Tiga tindakan promosi pembangunan bandar mampan

FUKUSHIMA, 4 DIS – Mesyuarat keempat Peringkat Tinggi Rangkaian Bandar Pintar ASEAN-Jepun bermula di sini hari ini, dengan ASEAN mengetengahkan tiga tindakan utama untuk...

Australia dakwa suspek IS

- Advertisment -