Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Kit ART laris penangan Omicron

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Sejak seminggu kebelakangan ini, melihat jumlah kes jangkitan yang melebihi angka 300 ditambah dengan penularan Omicron, orang ramai mula berlumba-lumba untuk mendapatkan kit ujian ART untuk kegunaan sendiri.
    Melihat respons orang ramai terhadap kit ujian ART itu, pihak media sempat mengunjungi premis yang menjual kit berkenaan dan menemu bual beberapa orang pelanggan yang ingin mendapatkannya.

    Hajah Zulidah binti Tuah dari Kampung Perpindahan Lambak Kanan, yang merupakan ahli Persatuan Bakanita semasa ditemui di Guardian Pharmacy di Serusop menjelaskan, beliau telah mengunjungi beberapa buah kedai berdekatan untuk mendapatkan kit ujian ART tetapi telah kehabisan stok.

    “Kit ART ini digunakan untuk latihan bagi Hari Kebangsaan tahun ini di mana, bagi persatuan, kami diminta untuk membuat ujian saringan ART sebelum ke acara latihan dan hasil keputusan ujian itu, hendaklah ditunjukkan pada hari latihan dibuat,” jelasnya.

    Beliau yang bekerja di pasar Gadong, juga membuat ujian ART setiap minggu di rumah dan seperti biasa hasil ujian itu akan dikongsikan kepada pihak berkenaan bagi pengesahan.

    Manakala itu, Hajah Kamsiah binti Haji Saidin, 40, juga memberitahu bahawa beliau telah mengunjungi beberapa kedai di kawasan Kampung Mentiri dan banyak kehabisan kit ART dan hanya tinggal kit yang djual pada harga $4 ke atas.

    Pelanggan ke Guardian Pharmacy memilih kit ART yang dijual di kedai tersebut.
    Kit ART yang tersedia untuk dijual di Guardian Pharmacy.

    Menurutnya, sejak kebelakangan ini kit ART sukar diperolehi dan ada yang menjualnya pada harga melebihi $4 satu sedangkan jenama yang dijual itu jenama yang sering dibeli sebelum ini.

    Beliau mempertikaikan kenapa kit ART yang dijual dengan harga yang mampu milik itu diborong oleh pihak lain dengan niat untuk dijual balik dengan harga yang tinggi.

    “Sepatutnya dalam situasi pada masa ini, jika boleh pihak peniaga dapat mengehadkan jumlah pembelian bagi setiap pelanggan, untuk memberi peluang kepada pelanggan lain mendapatkannya dengan harga yang mampu milik bagi semua peringkat,” jelasnya.

    Melihat kepada respons daripada orang ramai yang ingin mendapatkan kit ujian ART, Pengurus D’Season SF Enterprise, Joyce menjelaskan bahawa syarikat berkenaan akan sentiasa membuat pesanan dengan jumlah yang banyak setiap bulan. Selain itu, kami juga membuat tempahan awal untuk kumpulan kecil yang ingin mendapatkan dengan segera pada setiap minggu dan strategi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan terutama pada bulan lepas, katanya.

    “Peruntukan stok adalah perlu dan beberapa pesanan juga telah dipenuhi untuk menampung seberapa banyak bagi membolehkan masyarakat mendapatkan kit ujian yang diperlukan sama rata,” ujarnya. Beliau seterusnya menambah, pada kebiasaannya bekalan stok untuk ART ini akan mengambil masa tiga ke empat minggu dan ini bergantung kepada ketersediaan penerbangan.

    Ditanya mengenai harga, di mana ramai pelanggan mengatakan harga yang ditawarkan syarikat itu adalah harga mampu milik untuk semua, beliau menjelaskan pihak syarikat akan menawarkan harga borong terutama bagi badan korporat, syarikat, sekolah-sekolah dan pasar raya, dalam usaha memastikan keselamatan kakitangan dengan membuat ujian ART.

    Manakala itu, untuk pembelian setiap satu juga diberikan harga yang berpatutan yang mana tawaran ini akan sentiasa dikemas kini dan ini juga tertakluk kepada harga kos untuk barangan pre-order dan juga kos penghantaran yang tidak konsisten.

    Sementara itu, jurucakap Guardian Pharmacy pula menjelaskan, setakat ini bekalan stok untuk kit ART adalah mencukupi dan jika bekalan stok di cawangan berkurangan, pihak mereka akan menghubungi ibu pejabat bagi mendapatkan bekalan stok untuk memastikan bekalan tidak putus.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...