Kita belum bebas – Khatib

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Penduduk dan rakyat di sini mula menunaikan solat Jumaat hari ini setelah lebih tiga bulan masjid ditutup sementara di seluruh negara akibat gelombang kedua jangkitan COVID-19 Ogos lalu, dengan inti pati khutbah menekankan orang ramai untuk sentiasa berwaspada semasa Fasa Peralihan ini.

Khatib dalam khutbahnya yang bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Kurniaan Allah SWT’ menegaskan pengurangan langkah pengawalan yang telah dimulakan bukan bermaksud kita sudah bebas daripada wabak pandemik COVID-19.

“Oleh yang demikian, semasa fasa ini, kita hendaklah bekerjasama dan berjaga-jaga selain sentiasa mematuhi dasar, undang-undang dan garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan dalam sama-sama mengawal penularan wabak ini,” tekannya.

Khatib juga menasihatkan untuk sentiasa bersyukur atas segala nikmat keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan ini, kerana dengan mensyukuri nikmati Allah boleh menyelamatkan diri daripada azab dan bala bencana di mana dalam Al-Quran telah banyak menceritakan kisah umat yang terdahulu yang telah menerima segala nikmat kesenangan dan kemewahan tetapi mereka ingkar dan tidak mensyukuri kurnia nikmat tersebut dan menderhaka kepada Allah.

Khatib seterusnya menekankan, sekiranya para hamba itu mengkufuri nikmat kurnia Allah, dengan menderhaka dan meninggalkan segala suruhanNya dan melakukan segala laranganNya, maka buruklah balasannya di dunia dan di akhirat.

Khatib semasa solat Fardu Jumaat mengingatkan untuk sentiasa berwaspada semasa Fasa Peralihan ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau turut mengongsikan, menerusi kisah yang terjadi pada umat terdahulu untuk dijadikan iktibar dan pengajaran sebagai contoh kisah penduduk negeri Saba yang dilimpahi nikmat kemewahan dan kesejahteraan dan kemakmuran.

“Mereka telah diingatkan oleh rasul-rasul yang didatangkan kepada mereka untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan dengan cara beribadat dan mengesakan Allah tapi mereka telah mendustakan rasul-rasul dan melakukan kemungkaran,” tegasnya.

Oleh itu, segala nikmat kesejahteraan dan kemakmuran yang mereka nikmati di negeri mereka itu, telah dicabut oleh Allah akibat tidak bersyukur dan negeri mereka ditimpa bencana berupa banjir besar sebagai satu peringatan dan pengajaran.

“Dari itu, sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan raja kita, diri kita, ahli keluarga kita serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat rahmat dan perlindungan Allah dan selamat dari segala wabak penyakit, mara bahaya dan bala bencana,” tambahnya.

Terdahulu, khatib menyeru untuk sama-sama merafakkan setinggi-tinggi pujian dan syukur ke hadrat Allah atas limpah rahmat dan kurnia nikmatNya kerana berpeluang dan berkesempatan menunaikan sembahyang Fardu Jumaat dan Subuh berjemaah di masjid hari ini.