Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Kita boleh, saya boleh’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Kita mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan bagi mengurangkan risiko daripada menghidap kanser, sebab itulah, tema Hari Kanser Sedunia tahun ini, ‘Kita boleh, saya boleh’ sangat relevan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari Kanser Sedunia 2017 berkata bahawa secara purata, kira-kira 600 orang di Brunei Darussalam didiagnosis menghidap kanser setiap tahun dan ia merupakan penyebab lebih daripada 20 peratus kematian.

    Data Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa lebih satu dalam empat orang Brunei akan didiagnosis menghidap kanser dalam sepanjang hayatnya.

    “Apa yang boleh kita lakukan mengenainya? ‘Kesihatan Tanggungjawab Semua’ telah ditekankan sebelumnya. Sebagai individu dan sebagai sebuah komuniti, kita perlu bertanggungjawab dalam menjaga diri kita dengan mengurangkan pendedahan kita kepada faktor-faktor risiko kanser.”

    Menurut beliau, dua faktor risiko bagi kanser yang terus memberi cabaran di Brunei Darussalam adalah merokok dan obesiti.

    Sebanyak 20 peratus orang dewasa di Brunei, ujar beliau, adalah perokok dan ini bertanggungjawab bagi hampir sesuku daripada semua kematian akibat kanser, 61 peratus rakyat Brunei mempunyai berat badan berlebihan dan obes (kadar tertinggi di ASEAN). Merokok dan obesiti sangat berkait rapat dengan peningkatan risiko beberapa kanser biasa termasuk kanser payu dara, paru-paru dan usus.

    Berita baik adalah kebanyakan kanser ini berpotensi dicegah, malah setengah daripada kesemua kanser boleh dicegah dengan berhenti merokok, mengambil makanan sihat dengan banyak buah-buahan, sayuran dan serat diet, mengekalkan berat badan sihat dan aktif secara fizikal dengan 30 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana lima kali seminggu.

    Secara umumnya, tingkah laku individu seperti makanan yang kita makan dan berapa banyak berjalan, dipengaruhi oleh faktor-faktor sosioalam sekitar.

    “Oleh itu, kami menyeru rakan-rakan kongsi untuk menyertai kami dalam mengubah konteks ke arah memperkasa individu untuk membuat pilihan-pilihan sihat.

    “Program-program seperti ini-siatif-inisiatif pilihan lebih sihat di pasar-pasar raya dan kedai makan, menu lebih sihat di kantin-kantin sekolah dan tempat kerja, mempromosikan sukan-sukan dan program rekreasi dalam komuniti seperti Bandarku Ceria, semuanya memainkan peranan dalam mewujudkan ‘persekitaran mempromosikan kesihatan’ yang membuat pilihan sihat, pilihan mudah. Dalam aspek ini, kita mesti melakukan lebih banyak dan lebih baik,” tegas beliau.

    Di samping bekerjasama dengan rakan-rakan di peringkat polisi untuk mempromosikan persekitaran lebih sihat, Kementerian Kesihatan bersama Pusat Kanser Brunei terus memperbaiki perkhidmatan-perkhidmatan perubatan bagi para pesakit, terutamanya dalam memastikan bahawa mereka yang disyaki menghidap kanser dirujuk ke pakar-pakar yang sesuai untuk mendiagnosis kanser lebih awal dan memulakan rawatan yang diperlukan tepat pada waktunya.

    Ini, ujar beliau, selaras dengan tiga keutamaan strategik kementerian iaitu untuk meningkat kualiti penyampaian perkhidmatan, mencegah dan mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit dan untuk menyemai kesihatan tanggungjawab semua.

    Kunci untuk mengatasi kanser adalah pengesanan awal, yang mana alat-alat pemeriksaan kini telah ada bagi beberapa jenis kanser termasuk kanser payudara dan serviks. Ini adalah ujian-ujian yang mengesan kanser atau perubahan pra kanser lebih awal sebelum simptom-simptomnya keluar dan seterusnya boleh memberikan rawatan yang lebih efektif.

    Bagi mengakhiri perutusan, sempena Hari Kanser Sedunia ini, beliau menyeru semua orang merenungkan bagaimana kita, secara kolektif atau individu, boleh mengurangkan beban kanser di Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda