Kitar semula kulit kacang sebagai bahan bakar alat pemanas

HAMA – Kalau kita melihat pada perumpamaan ‘bagai kacang lupakan kulit’ ia sesuatu yang membawa kepada konotasi negatif.

Begitulah kita apabila makan kacang, kita akan mengupas kulitnya terlebih dahulu lalu mengambil bijinya untuk dimakan dan kulitnya akan dibuang. Walhal sebenarnya kulit kacang mempunyai manfaatnya tersendiri yang tidak diketahui ramai dan salah satunya dijadikan sebagai bahan bakar bagi alat pemanas.

Kaya dengan kacang pistasio di Wilayah Hama di tengah Syria, telah memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk menjadikan kulit pistasio sebagai bahan bakar bagi alat pemanasan yang dapat menjimatkan wang dan usaha mereka untuk mencari bahan bakar. Pada ketika ini, Syria mengalami kekurangan bahan bakar, sama ada disebabkan oleh kesukaran untuk memperolehinya mahupun disebabkan tidak mampu untuk dimiliki oleh banyak pihak. Tetapi bagi orang-orang di Hama, menangani kekurangan bahan bakar itu bukan masalah besar kerana alternatifnya sudah tersedia dengan harga yang jauh lebih murah.

Sulaiman Khaled, 32, tinggal di kota Hama bersama isterinya, ibunya dan lima orang anaknya dalam sebuah bilik panas yang hangat dengan alat pemanas yang berfungsi menggunakan kulit pistasio.

Alat pemanas berkenaan hampir sama fungsinya dengan yang biasa menggunakan bahan bakar, kecuali di samping tangki bahan bakar kecil, ada bekas yang lebih besar di sebelahnya yang dipenuhi dengan kulit kacang dan bekas tersebut dihubungkan dengan alat pemanas melalui tiub, di mana kerang akan dibakar pada api di alat pemanas.

Sulaiman Khaled memasukkan kulit kacang pitasio ke dalam alat pemanasnya. – Xinhua

Pekerja membungkus kulit kacang untuk alat pemanas di kilang yang terletak di wilayah Hama, di tengah Syria. – Xinhua
Anak kepada Sulaiman Khaled duduk berhampiran dengan alat pemanas yang berfungsi menggunakan kulit kacang pistasio di rumahnya. – Xinhua

Khaled, yang berasal dari sebuah bandar bernama Morek di kawasan desa Hama, berkata pemanas itu dicipta di Morek hampir 13 tahun yang lalu kerana bandar ini kaya dengan pokok pistasio.

Semasa perang, kebanyakan penduduk Morek melarikan diri dari rumah mereka di Bandar menuju ke ibu kota Hama dan membawa alat pemanas bersama mereka.

Orang tempatan berjaya menggunakan sisa kacang pistasio, yang diperolehi melalui kilang-kilang kecil yang memisahkan kulit dari kacang pistasio, lalu menghantar kekacangnya untuk dijual secara berasingan sama ada untuk gula-gula atau kegunaan lain, sementara itu kulitnya dihantar untuk dijual kepada orang ramai yang menggunakannya sebagai bahan bakar alat pemanasan rumah mereka pada musim sejuk.

“Kami telah menggantikan alat pemanas yang menggunakan bahan bakar, gas, atau elektrik, dengan alat pemanas yang berfungsi menggunakan kulit pistasio semasa perang. Pada umumnya berlaku kekurangan bahan bakar dan alat pemanas yang berfungsi menggunakan kulit kacang itu lebih murah dan harganya berpatutan daripada bahan lain,” kata Khaled.

Alat pemanas ini dibuat di Hama oleh beberapa pengilang tempatan, yang dilengkapkan dengan pemasa dan butang untuk mengawal aliran kulit ke dalam alat pemanas.

Abdullah Twait merupakan salah seorang pengilang, yang membuat alat pemanas jenis tersebut di kilangnya di Hama. Lelaki itu juga menjual kulit kacang pistasio kepada para pelanggan.

Beliau memberitahu kepada media bahawa akibat daripada masalah kekurangan bahan bakar bagi alat pemanasan menjadikan alat pemanas yang menggunakan kulit kacang tersebut lebih digemari di Hama.

Twait berkata orang ramai memilih untuk menggunakan kulit kacang pistasio kerana ia adalah bahan ekonomi dan ia mampu memberikan kehangatan yang melebihi pada alat pemanasan bahan bakar.

Beliau juga menyatakan alat pemanas tidak hanya berfungsi menggunakan kulit kacang pistasio, malah alat pemanas ini juga menggunakan kekacang yang lembut sebagai bahan bakar, sambil beliau menambah bahawa bahan tersebut 50 peratus lebih murah daripada bahan bakar.

“Ini merupakan satu ciptaan, kami berjaya mencipta sesuatu untuk memudahkan kehidupan kami dan kami sedang berusaha untuk membangun alat pemanas jenis ini dari setahun ke tahun,” kata Twait. – Xinhua