Kiudangku Ceria meriah

Oleh Nurdiyanah R.

 

TUTONG, 11 Sept – Demi mewujudkan masyarakat harmoni yang memiliki semangat kerjasama, keprihatinan serta perpaduan yang tinggi, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah mengadakan Kiudangku Ceria ke-2 di kawasan Gerai Muafakat Kampung Kiudang, Mukim Kiudang, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Acara dimulakan dengan aktiviti keagamaan iaitu solat fardu Subuh berjemaah dan Tazkirah Subuh mengenai menjaga kesihatan mengikut Sunnah di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kiudang, yang turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara juga Penasihat MPK Kiudang, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; Penghulu Mukim Kiudang, Haji Abd Rahim bin Abdullah Yakin; dan Ketua Imam, Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Haji Mahari bin Haji Metussin.

Kemudian, acara dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik yang diketuai oleh kakitangan-kakitangan dari Jabatan Penjara Maraburong, Daerah Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat di acara tersebut ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohammad Hussain dan isteri. Turut serta semasa acara tersebut ialah Yang Berhormat Haji Umarali; Haji Abdul Rahim; Ketua Kampung Kiudang, Haji Mohd Saiful bin Abdullah Anja yang juga selaku pengerusi MPK Kiudang; Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis Suhairi bin Haji Syukri beserta Awang Mohammad Amir bin Haji Umarali selaku pengerusi bersama program Kiudangku Ceria.

Sesi senamrobik turut diadakan bagi menceriakan lagi acara Kiudangku Ceria.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa berlangsung Kiudangku Ceria anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kiudang Tutong dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan di Kampung Kiudang, baru-baru ini.

Seterusnya acara diikuti dengan pelepasan Kayuhan Santai Berbasikal menyusuri kampung sejauh 13 kilometer yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat. Manakala diteruskan pula dengan pelepasan Berjalan Santai sejauh 8 kilometer yang dirasmikan oleh Ketua Kampung Kiudang.

Selain itu, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyertai Kiudangku Ceria dengan menjual bermacam-macam barangan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada orang ramai dan pengunjung.

Dengan adanya Kiudangku Ceria ini, ia merupakan salah satu inisiatif bagi mengungkayahkan aktiviti kemasyarakatan sesuai dengan matlamatnya bagi membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.