K’jaan digesa bina klinik kesihatan di Pulau Mantanani

KOTA KINABALU, 15 April – Kerajaan negeri dicadang supaya mewujudkan sebuah Klinik Kesihatan di Pulau Mantanani, Kota Belud yang mempunyai lebih daripada 1,000 penduduk.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Japlin Akim berkata pembinaan klinik di kawasan itu amat penting bagi memudahkan penduduknya mendapatkan rawatan kerana terletak jauh dari tanah besar.

“Satu klinik kesihatan yang terdekat dengan pulau itu yang terletak di tanah besar iaitu di Kuala Abai telah ditutup beberapa bulan lalu,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan mendapatkan sebuah tapak di pulau itu bagi membina semula klinik kesihatan baharu di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Japlin mahu Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah mengambil langkah penting dalam usaha mengurangkan masalah jangkitan penyakit tibi yang masih berleluasa di negeri ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu, sebanyak 5,008 kes penyakit tibi direkodkan di Sabah iaitu daerah Kota Kinabalu mencatatkan kes tertinggi 908 kes, diikuti Sandakan (594), Tawau (455), Semporna (388) dan Lahad Datu (387). – Bernama