K’jaan India luluskan elektrifikasi kereta api

NEW DELHI, 13 Sept – Kerajaan Indian telah meluluskan 100 peratus elektrifikasi kereta api milik negara dalam tempoh empat tahun akan datang, satu langkah mesra alam yang berupaya mengurangkan kebergantungan rangkaian sistem pengangkutan itu kepada diesel berkelajuan tinggi.

Kereta api di India beroperasi menggunakan sama ada eletrik atau diesel. Pada masa ini, hanya 48 peratus daripada rangkaian landasan kereta api sepanjang 61,680 kilometer menggunakan elektrik.

“Elektrifikasi yang dicadangkan, terutama untuk pautan yang hilang dan sambungan terakhir, akan meningkatkan keberkesanan operasi, kapasiti jajaran dan kelajuan purata kereta api,” lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Syarikat Keretapi India.

“Selepas eletrifikasi yang dirancang, terdapat anggaran pengurangan penggunaan minyak diesel berkelajuan tinggi sekitar 2.83 bilion liter setahun dan pengurangan dari segi pelepasan gas rumah hijau,” katanya. Seorang pegawai kanan pada Khamis berkata kerja-kerja elektrifikasi keseluruhan rangkaian kereta api akan siap menjelang 2022.

“Apabila siap, Syarikat Keretapi India akan menjadi satu rangkaian sistem pengangkutan yang mesra alam kerana menghentikan penggunaan diesel akan turut mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.

Narendra Modi menyampaikan ucapan semasa Sidang Kemuncak Mobiliti Global ‘MOVE’ bagi mempromosi kenderaan elekrtik dan perkongsian kereta di New Delhi 7 September lalu. – AFP

Syarikat Keretapi India adalah rangkaian kereta api terbesar dunia, yang mempunyai perkhidmatan di seluruh negara dari bahagian utara hingga bahagian selatan.

Ia mengendali sejumlah 9,000 kereta api penumpang dan membawa kira-kira 23 juta orang setiap hari.

Perusahaan awam yang besar itu boleh dirujuk sebagai sebuah syarikat separa kerajaan.

Ia mengendali sekolah, hospital, memiliki pasukan polis dan syarikat pembinaannya sendiri serta mempunyai sejumlah 1.3 juta pekerja, menjadikannya majikan ketujuh terbesar di dunia.

Pada tahun 2015, kerajaan Perdana Menteri Narendra Modi memperuntuk dana sebanyak AS$137 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memodenkan dan memperluas sistem pengangkutan kereta api. – Bernama