KOTA KINABALU, 14 Feb – Kerajaan sedang mempertimbang untuk membenarkan kaedah usaha sama antara kontraktor Bumiputera Sabah dengan syarikat luar sama ada dari Semenanjung atau Sarawak dalam pemberian tender dan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini berikutan terdapat kekurangan kontraktor Bumiputera Sabah Tier 1 yang berpengalaman luas untuk mengendalikan projek pembinaan lebuh raya.
Beliau berkata sebanyak 35 syarikat atau kontraktor diperlukan bagi mengisi kesemua 35 pakej di bawah projek lebuh raya itu, namun, setakat ini hanya kira-kira 14 syarikat sahaja di Sabah yang dikenal pasti mempunyai kelayakan.
“Antara kaedah dikenal pasti dan sedang dalam penilaian ialah membenarkan usaha sama dengan syarikat luar (sama ada dari Semenanjung atau Sarawak) bagi membantu kemampuan sumber kewangan dan pengalaman kontraktor tempatan sekali gus memastikan projek lebuh raya ini berjalan seperti dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sesi taklimat peluang pakej kerja dan pembiayaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, yang turut dihadiri timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, di sini hari ini.
Fadillah berkata kebanyakan kontraktor Bumiputera Sabah yang ada ketika ini tidak menepati syarat ditetapkan memandangkan untuk dilantik sebagai kontraktor utama mereka akan dinilai dari segi teknikal, pengalaman dan jentera selain mempunyai sumber kewangan sekurang-kurangnya RM100 juta.
“Menerusi kaedah usaha sama itu, hanya 30 peratus syarikat luar (Semenanjung atau Sarawak) dibenarkan bekerjasama dengan kontraktor Sabah. – Bernama