PARIS, 12 MAC – Gol penyamaan lewat Simon Kjaer memberikan AC Milan keputusan seri 1-1 di Manchester United hari ini yang juga kelebihan buat kelab Itali itu untuk mara ke suku akhir Liga Europa.
Kjaer menanduk kencang pada saat akhir perlawanan pertama kelompok 16 terakhir di Old Trafford selepas Amad Diallo membuka jaringan pada minit ke-50 yang juga gol sulungnya buat United.
“Keputusan ini sesuatu yang hebat, kami bermain sangat baik, menunjukkan personaliti dan saya rasa kami mendominasi,” kata pemain pertahanan itu kepada Sky Sport Italia.
Jaringan pertahanan Milan itu mengganggu saat indah buat pemain remaja Ivory Coast, Diallo.
Pada penampilan ketiganya buat United, Diallo mempamerkan potensi yang ada pada dirinya untuk memburu tempat beraksi di Liga Perdana Inggeris selepas dibeli daripada kelab Itali, Atalanta pada Januari. Hanya lima minit selepas dimasukkan sebagai pemain gantian separuh masa pertama, pemain berusia 18 tahun itu meletakkan United di depan menerusi tandukan hebat.

Pemain legenda termasuk Paolo Maldini, Cristiano Ronaldo, Kaka, Wayne Rooney dan Ronaldinho semuanya pernah beraksi ketika pertembungan membabitkan United dan Milan.
Sekalipun terlalu awal untuk meletakkan Diallo sebaris dengan nama bintang berkenaan, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer berharap jaringan pertama pemain itu dapat meningkatkan prestasinya untuk beraksi cemerlang bersama pasukan. Pada usia 18 dan 243 hari, Diallo adalah pemain muda keempat yang menjaringkan gol untuk United pada kejohanan utama Eropah, selepas Mason Greenwood, Marcus Rashford dan George Best.
“Masa yang tepat, berat badan yang agak sempurna. Detik yang hebat untuk pemain muda itu,” kata Solskjaer.
Ketika Diallo menyerlah dengan peranannya, namun ia belum memadai untuk membantu United meneruskan momentum kemenangan 2-0 ke atas pendahulu liga Perdana Inggeris, Manchester City pada Ahad lalu.
Dengan United ketinggalan 14 mata di belakang City, saingan Liga Europa dan Piala FA menjadi harapan terbaik mereka untuk menjulang trofi pertama di bawah kendalian Solskjaer.
“Anda sentiasa kecewa apabila anda melepaskan gol dalam keadaan begitu,” kata Solskjaer.
“Satu minit sebelum tamat perlawanan yang mengecewakan tetapi kami harus menerimanya dengan terbuka dan akan berkunjung ke tempat lawan minggu depan, terus berjuang.
“Kami tahu kami harus menjaringkan gol dan menang perlawanan atau menjaringkan dua gol dan seri. Ia menjadikan ia bertambah sukar.” – AFP






























