KKBI 2020 satukan belia

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Konvensyen Kepimpinan Belia Islam (KKBI) 2020 yang menyatukan belia-belia khususnya kumpulan belia yang bernaung di bawah entiti Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), kumpulan-kumpulan belia di negara ini, institusi pengajian tinggi dan orang awam telah membuka tirainya di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Konvensyen dua hari kendalian KHEU dan Program Keugamaan Belia itu juga menjemput perwakilan dari negara anggota MABIMS.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian konvensyen berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan pegawai-pegawai kanan di KHEU.

Dalam ucapannya pada majlis itu, tetamu kehormat menjelaskan bahawa KKBI 2020 merupakan satu pengiktirafan dan wadah kepada para belia di Negara Brunei Darussalam ini untuk berinteraksi sesama mereka dan seterusnya mencari huraian dan resolusi terbaik terhadap topik-topik yang dibincangkan.

Beliau menegaskan, ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035, para belia perlulah memainkan peranan mereka dengan penuh aktif kerana para belia mempunyai banyak kelebihan iaitu dari sudut tenaga, kelebihan buah fikiran, mempunyai kreativiti dan semangat yang tinggi untuk mencapai wawasan 2035 itu nanti.

Beliau juga percaya adunan untuk menghasilkan keaktifan dan kepimpinan belia yang positif di negara ini, kelebihan yang ada pada belia itu sendiri dari sudut tenaga, buah fikiran, kreativiti dan semangat sayugianya dapat dimanfaatkan dan diberi sokongan dengan mereka itu diberikan bimbingan dan tunjuk ajar sama ada ianya berbentuk sokongan moral dan juga material, bimbingan dan sokongan berbentuk kursus-kursus motivasi dan meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri mereka.

Konvensyen bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang bertemakan ‘Belia Holistik Harapan Negara’ itu antara lain berobjektif untuk menyediakan platform, sarana atau wadah bagi para belia untuk bersuara dan menyedari peranan dan kemampuan mereka dalam memberi sumbangan yang positif kepada bangsa dan negara dalam sama-sama menyokong perkembangan belia dan Wawasan Brunei 2035.

Konvensyen juga menerima sumbangan dan tajaan daripada Cuckoo Brunei yang menyediakan dispenser air. Selain itu, konvensyen ini juga menerima sumbangan bean bag daripada Beanbag Brunei, lencana butang daripada Kalerful Print, dan air botol Rainfresh daripada Superwater Marketing Sdn Bhd.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan ucapan.
Antara belia yang menyertai KKBI 2020 yang berlangsung selama dua hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.