Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sebanyak 5,957 kotak kecil kurma telah diagihkan semasa Majlis Penyampaian Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah sempena Bulan Ramadan 1443H/2022M di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.
Kurma tersebut telah diagihkan kepada pegawai dan kakitangan KKBS serta jabatan-jabatan di bawahnya semasa majlis tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian kurma ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap serta pegawai KKBS.
Acara berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ayat-ayat lazim berserta terjemahannya yang dibaca oleh mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Mohd Ali Wafiuddin bin Haji Osman.
Majlis diteruskan dengan penyerahan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Doa Selamat, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Memohon Perlindungan daripada wabak COVID-19 oleh Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, KKBS, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.