KKBS anjur majlis keagamaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) telah mengadakan majlis kesyukuran di Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Kampung Tamoi dan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Majlis diadakan melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) seluruh daerah dan Pertubuhan Wargamas serta badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, ahli-ahli PKWE di seluruh daerah, Pertubuhan Wargamas, NGO, rakan-rakan strategik KKBS, penduduk kampung dan pegawai-pegawai kanan di KKBS serta JAPEM.

Pada majlis itu, bacaan Ratib Al-Attas, Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan serta sembahyang Fardu Asar berjemaah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Awang Faizal bin Janif. Acara kemudian diteruskan dengan Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja di mana bacaan tahlil, Surah Yasin dan doa telah dipimpin oleh Haji Hamaffi bin Haji Mohd Yassin yang merupakan ahli PKWE Tutong.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir pada acara keagamaan berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika hadir pada acara keagamaan berkenaan.